Belum sampai 12 jam selepas perlawanan persahabatan antarabangsa ‘A’ diantara Malaysia dan Maldives malam tadi, Tan Cheng Hoe telah mengumumkan senarai 23 pemain yang akan menggalas tugas ke Piala Suzuki AFF 2018.

Sedikit kejutan apabila pemain tengah yang beraksi untuk Pahang, Nor Azam Abdul Azih digugurkan Tan Cheng Hoe bersama sama Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (JDT) dan Azzizan Nordin (Sabah).

Akhyar Rashid yang masih bergelut dengan stamina susulan kecederaan ketika beraksi untuk Kejuaraan Piala AFC bawah 19 tahun di Indonesia turut dipanggil Tan Cheng Hoe 

Barisan pemain yang dipanggil Tan Cheng Hoe menyaksikan Khairul Fahmi Che Mat dan Norshahrul Idlan Talaha bakal membuat penampilan kelima dalam Piala AFF.

Lapan pemain pernah beraksi ketika Piala AFF edisi 2016 iaitu Ahmad Hazwan Bakri, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Shahrul Saad, Nazirul Naim Che Hashim, Syazwan Zainon, Zaquan Adha Abd Radzak, Norshahrul Idlan Talaha dan Khairul Fahmi Che Mat.

Cheng Hoe menyenaraikan 26 pemain bagi kem latihan pusat terakhir yang bermula pada 24 Oktober lalu.

Malaysia berada di dalam kumpulan A bersama Vietnam, Myanmar, Kemboja dan Laos manakala Kumpulan B dibarisi juara bertahan, Thailand, Indonesia, Filipina, Singapura dan Timor-Leste yang menang perlawanan kelayakan dengan Brunei.

Aksi pembukaan kumpulan A, Malaysia akan bertemu Kemboja di Phnom Penh pada 8 November sebelum menanti kunjungan Laos di Bukit Jalil pada 12 November.

Harimau Malaya akan terbang ke Hanoi pula untuk bertemu Vietnam pada 16 November dan mengakhiri aksi Kumpulan A menentang Myanmar di Bukit Jalil pada 24 November.  KU MOHD LUFTI 

SENARAI 23 PEMAIN SKUAD MALAYSIA KE PIALA SUZUKI AFF 2018

Farizal Marlias, Hafizul Hakim, Khairul Fahmi Che Mat, Aidil Zafuan, Adam Nor Azlin, Shahrul Saad, Amirul Azhan, Nazirul Naim, Syazwan Andik, Irfan Zakaria, Syamer Kutty Abba, Kenny Pallraj, Akram Mahinan, Syahmi Safari, Safawi Rasid, Hazwan Bakri, Syafiq Ahmad, Syazwan Zainon, Akhyar Rashid, Zaquan Adha, Mohamadou Sumareh, Norshahrul Idlan Talaha, Shahrel Fikri

- Advertisement -