Malaysia akan menentang Vietnam dalam aksi ketiga Kumpulan A Piala AFF Suzuki di Stadium My Dinh Hanoi pada Jumaat (16 November).

Menjelang pertemuan getir itu yang dianggap akan menguji wibawa sebenar Harimau Malaya selepas dua kemenangan dalam aksi menentang Kemboja dan Laos, kami mengimbau semula rekod pertemuan di antara kedua-dua pasukan.

Malaysia pada hakikatnya mendapati Vietnam terlalu sukar untuk ditundukkan, buktinya dalam lapan pertembungan terakhir sejak 2010, mereka hanya mampu menang dua kali sahaja, sekali seri dan selebihnya tewas.

Berikut rekod pertemuan dalam lima perlawanan terakhir :    

Malaysia 0-1 Vietnam (23 November 2016, Peringkat Kumpulan Piala AFF Suzuki 2016)

Setelah bermula dengan menewaskan Kemboja 3-2 dalam aksi pertama, Malaysia memburu kemenangan kedua yang akan mengukuhkan laluan ke separuh akhir.

Dengan Vietnam juga memburu kemenangan kedua, perlawanan berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan berbalas serangan namun masing-masing gagal memecahkan kebuntuan sehinggalah minit ke-80 permainan apabila Nguyen Trong Hoang yang merembat kencang menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.

Gol itu menjadi pemisah sehingga tamat perlawanan di Stadium Thuwunna Yangon, menyaksikan Vietnam melonjak ke tangga teratas kumpulan manakala Malaysia tergelincir ke tangga ketiga.  

 

Vietnam 2-4 Malaysia (11 Disember 2014, Separuh Akhir Kedua Piala AFF Suzuki 2014)

Malaysia turun pada perlawanan ini ketinggalan 1-2 berikutan kekalahan di perlawanan separuh akhir pertama dan berdepan tugas getir untuk menterbalikkan keputusan seterusnya mara ke perlawanan akhir kerana bermain di tempat lawan.

Begitupun hanya empat minit diperlukan Harimau Malaya untuk memadam kelebihan itu menerusi jaringan penalty Safiq Rahim dan 12 minit kemudian Norshahrul Idlan Talaha meletakkan Malaysia mendahului 2-0.  

Le Cong Vinh kemudiannya merapatkan kedudukan setelah menyempurnakan penalti pada minit ke-21 namun jaringan sendiri Dinh Thien Thanh serta Shukor Adan memastikan Malaysia mendahului selesa 4-1 di separuh masa pertama.

Malaysia bertahan dengan baik di separuh masa kedua dan jaringan Cong Vinh pada minit ke-79 sudah terlewat untuk menghalang Malaysia dari melangkah ke final dengan agregat 5-4.

 

Malaysia 1-2 Vietnam (7 Disember 2014, Separuh Akhir Pertama Piala AFF Suzuki 2014)

Setelah kandas di separuh akhir pada edisi 2012, harapan tinggi diletakkan ke atas skuad bimbingan Dollah Salleh agar pencapaian itu dapat diperbaiki dan Malaysia akan mengulangi kejayaan melangkah ke final edisi 1996 dan 2010.

Perlawanan di Stadium Shah Alam bermula dengan positif buat Harimau Malaya apabila kapten pasukan Safiq Rahim menjaringkan gol pendahuluan menerusi sepakan penalty pada minit ke-14.

Vo Huy Toan mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-32 sebelum Nguyen Van Quyet menjaringkan gol kedua selepas sejam perlawanan untuk memastikan Vietnam pulang ke Hanoi dengan bekalan satu gol.

 

Vietnam 3-1 Malaysia (16 November 2014, Perlawanan Persahabatan)

Setelah menang hanya sekali dalam 12 aksi terakhir, kekecewaan penyokong terhadap prestasi semasa Harimau Malaya adalah difahami.

Perlawanan menentang Vietnam adalah perlawanan terakhir sebagai persiapan untuk beraksi di Piala AFF Suzuki 2014 yang akan berlangsung kurang dua minggu lagi dan pasukan dituntut menunjukkan peningkatan jika berhasrat memberikan tentangan sengit di pertandingan itu nanti.

Walaupun bermula baik dengan mendahului menerusi jaringan Amri Yahyah yang menyudahkan hantaran Norshahrul Idlan Talaha, kelebihan itu gagal dipertahankan setelah Mac Hong Quan menyamakan kedudukan pada minit ke-47.

Malang buat Malaysia apabila terpaksa beraksi 10 pemain setelah Muslim Ahmad dilayangkan kad merah dan beberapa minit selepas itu Nguyen Van Quyet menyempurnakan penalti untuk kedudukan 2-1 sebelum Ngo Hoanh Thinh melengkapkan kemenangan.

 

Vietnam 1-0 Malaysia (3 November 2012, Perlawanan Persahabatan)

Berbaki kira-kira tiga minggu lagi untuk berlangsungnya Piala AFF Suzuki, keyakinan skuad negara yang akan turun di pertandingan itu sebagai juara bertahan sedikit terusik dengan kekalahan 0-1 di tangan Vietnam.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan Nguyen Trong Hoang menerusi rembatan dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan Khairul Fahmi Che Mat. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

 

**Maklumat daripada Utusan Malaysia dan Foxsports Malaysia turut digunakan dalam artikel ini.

- Advertisement -