Arul: Tiada lagi ruang untuk Nur Insafi

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2019/02/arul-tiada-lagi-ruang-untuk-nur-insafi">
Twitter
Pinterest

 

 

Pengendali Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Arul Selvaraj mengarahkan barisan pemainnya supaya tidak terlalu memberi ruang kepada jentera serangan Nur Insafi menjelang pertemuan Liga Premier Hoki Malaysia di Stadium Hoki Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, esok.

Peringatan itu selepas mengambil kira kesukaran yang dihadapi pasukannya dalam aksi pusingan pertama liga yang berkesudahan dengan kemenangan memihak UniKL 3-1.

“Nur Insafi berjaya memberi tentangan dalam pertemuan terakhir dengan kami,” kata Arul. “Ketika perlawanan terikat 1-1 mereka mempunyai peluang di suku terakhir dan tak silap saya pukulan penyerang mereka Ismail Abu terkena palang.”

“Jika ia masuk ke dalam gawang mungkin perlawanan akan berakhir dengan keputusan yang berbeza,” kata Arul dalam sesi latihan di Stadium Tengku Abdullah, Bangi sebelum bertolak ke Pulau Pinang.

“Kami memberi mereka terlalu banyak ruang dan ia tidak lagi akan berlaku esok. Satu-satunya perkara yang kami perlu elak adalah memastikan pemain dapat mengawal emosi dengan aksi keras pasukan lawan,” katanya.

Dalam pertembungan pertama membabitkan kedua-dua pasukan 25 Januari lalu, UniKL dikejutkan seawal minit kelapan hasil jaringan padang oleh Nur Rahul Hrsikesa Thaitchana sebelum bangkit menyumbat tiga gol menerusi Robbert Kemperman (m-18), Muhammad Marhan Mohd Jalil (m-48) dan Faridzul Afiq Mohd (m-49)

Selain perlawanan di Stadium Hoki USM, dua aksi lain dijadualkan berlangsung esok antara TNB menentang Maybank di Stadium Tengku Abdullah serta TNB Thunderboltss melayan kunjungan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Stadium Tun Razak.

Sekiranya menang, peluang UniKL untuk menjuarai liga kian cerah apatah lagi mereka yang ketika ini menerajui liga dengan 25 mata mempunyai kelebihan satu aksi di tangan berbanding TNB (24 mata) yang sudah beraksi 10 daripada 12 perlawanan.

Juara bertahan, Terengganu Hockey Team (THT) mengekori di tangga ketiga dengan 19 mata manakala Maybank (15 mata) di kedudukan keempat diikuti UiTM (6), TNB Thunderbolts (4) dan Nur Insafi tercorot (4).

“Memang kami tidak mengambil mudah aksi ini. Malah, kami meneruskan latihan keras dalam dua sesi terakhir. Esok kami akan menguji padang Stadium Hoki USM dan daripada maklumat diterima padangnya agak baharu.

“Selain daripada itu kami hanya kembali pada asas untuk bagaimana beraksi, macam mana memulakan perlawanan. Apabila kami ke sana kami akan beraksi mati-matian dan turut menjangkakan tentangan sengit daripada mereka.”

Dengan tiada sebarang kecederaan, Arul menambah UniKL akan mempertaruhkan pasukan terkuatnya apabila berdepan pasukan yang berpangkalan di Sungai Petani itu.

“Timothy Deavin mengalami kecederaan ringan dan sudah kembali. Dia turut beraksi dalam aksi terakhir menang ke atas TNB 3-1. Pemain hanya mahukan suasana yang santai dan saya gembira dengan dua sesi terakhir kami.

“Semua pemain saya amat bermotivasi dan bersungguh-sungguh dalam latihan selain menunjukkan usaha yang jitu. Selalunya apa yang dibuat dalam latihan akan dibawa ke hari perlawanan,” katanya.

Please follow and like us:
0