Mohd Azizulhasni buru gelaran ketiga Anugerah SAM–100PLUS 2018

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2019/04/mohd-azizulhasni-buru-gelaran-ketiga-anugerah-sam-100plus-2018">
Twitter
Pinterest

Jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang dan atlet tenpin boling, Muhammad Rafiq Ismail dilihat sebagai pilihan popular untuk meraih Anugerah Atlet Terbaik pada majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2018 yang akan berlangsung di sini esok (10 April).

Edisi majlis anugerah kali ini sedikit berbeza kerana ia diadakan sempena ulang tahun ke-50 penubuhan SAM, yang telah ditubuhkan pada tahun 1969.

Presiden SAM Jasni Shafie berkata penganjuran acara tahun ini lebih banyak cabarannya kerana ia sempena sambutan ulangtahun 50 tahun SAM dan persatuan ini mahu terus menjadi badan bebas yang dihormati dan disegani.

“Kerana itu, seluruh warga SAM dan ahli-ahli amat terharu apabila Anugerah SAM – 100 PLUS kali ini bakal menyaksikan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong. Baginda adalah peminat sukan utama negara dan ia amat bermakna sekali kepada wartawan sukan dan atlet yang akan menerima anugerah mereka pada malam tersebut,” katanya.

Majlis Anugerah SAM-100PLUS 2018 yang diadakan bersempena sambutan ulang tahun penubuhan SAM yang ke-50 itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar untuk berangkat hadir ke majlis itu.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga dijadualkan hadir pada majlis berkenaan.

Pelumba berusia 31 tahun dari Dungun, Terengganu, yang terkenal dengan jolokan ‘The Pocket Rocketman’ itu dilihat memburu anugerah itu buat kali ketiga selepas memenanginya pada 2009 dan 2017.

Pada temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, Mohd Azizulhasni meraih pingat emas melalui acara pecut individu lelaki serta satu pingat perak dan gangsa masing-masing dalam acara pecut berpasukan dan keirin.

Beliau turut meraih pingat emas pada Kejohanan Trek Grand Prix Asia Tenggara 2018 di Veldrom Nasional, Nilai pada Oktober tahun lepas. 

Sementara Muhammad Rafiq Ismail turut melakar kejayaan cemerlang sepanjang tahun lepas dengan memperoleh pingat emas dalam acara perseorangan Kejohanan Boling Lelaki Dunia 2018, di Hong Kong dan sekali gus menjadi pemain Malaysia pertama mencapai kejayaan itu dalam tempoh 39 tahun.

Sebelum itu, atlet muda berusia 22 tahun itu juga beraksi cemerlang pada temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 dengan meraih satu pingat emas dan satu pingat perak masing-masing menerusi acara Masters dan Trio Lelaki, yang mana beliau bergandingan dengan Ahmad Muaz Mohd Fishol dan Timmy Tan.

Perebutan bagi Anugerah Atlet Terbaik untuk Majlis Anugerah SAM-100Plus 2018 kali ini turut menyaksikan persaingan sengit juara-juara dunia dalam kalangan atlet kebangsaan yang lain, di mana turut mengintai peluang ialah gandingan ratu terjun negara Cheong Jun Hoong dan Pandelela Rinong Pamg; Amy Kwan Dict Weng (gimrama); dan Mohamad Hazim Amzad (silat).

Sementara itu Mohd Ridzuan Mohd Puzi, yang dinobat sebagai Atlet Para Lelaki Terbaik Asia 2018, dilihat sebagai pesaing terkuat untuk Anugerah Atlet Paralimpik Terbaik, yang turut menyenaraikan dua lagi jaguh sukan olahraga para negara iaitu Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly serta Bonnie Bunyau Anak Gustin daripada sukan powerlufting.

Jaguh pecut para negara itu melakar kejayaan membanggakan pada temasya Sukan Para Asia di Jakarta tahun lepas dengan menyumbang tiga pingat emas selain memperbaharui rekod dunia dan juga Asia.

Pemenang untuk kedua-dua anugerah ini akan menerima hadiah wang tunai RM10,000 dan sebuah trofi.

Selain memberi pengiktirafan kepada atlet yang mencapai kejayaan cemerlang, wartawan sukan juga berpeluang memenangi hadiah melalui enam kategori anugerah kewartawanan yang dipertandingan iaitu Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik.

Pemenang keseluruhan untuk kategori kewartawanan sukan akan dinobatkan sebagai penerima trofi Anugerah Siebel dan hadiah wang tunai RM7,000.

 

SENARAI ATLET TERBAIK SAM:

1995 – Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (badminton)

1996 – Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (badminton)

1997 – Nurul Huda Baharin (menembak)

1998 – Lim KengLiat (renang)

1999-2001 – Tiada Anugerah

2002 – Lim Keng Liat (renang) dan S.Premila (karate-do)

2003 – Lim Keng Liat (renang)

2004 – Bryan Nikson Lomas (terjun)

2005 – Nicol Ann David (skuasy)

2006 – Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (badminton)

2007 – Wong Mew Choo (badminton)

2008 – Lee Chong Wei (badminton)

2009 – Mohd Azizulhasni Awang (berbasikal)

2010 – Pandelela Rinong (terjun)

2011 – Nur Suryani Taibi (menembak)

2012 – Pandelela Rinong Pamg (terjun)

2013 – Sazali Samad (bina badan)

2014 – Nicol Ann David (skuasy)

2015 – Pandelela Rinong Pamg (terjun)

2016 – Lee Chong Wei (badminton)

2017 – Mohd Azizulhasni Awang (berbasikal)

 

ATLET PARALIMPIK TERBAIK SAM:

2016 – Mohd Ridzuan Mohd Puzi (olahraga)

2017 – Muhd Ziyad Zolkefli (olahraga)

Please follow and like us:
0