Pakar pecut pasukan Androni Giocattoli Sidermec, Matteo Pelucchi membuktikan dia kini meniti tahap kecergasan di kemuncak apabila meraih kemenangan peringkat kali kedua berturut-turut selepas memenangi Peringkat 6 PETRONAS Le Tour de Langkawi 2019 di Alor Setar, hari ini.

Pelumba 30 tahun yang menjulang kemenangan pertama pada Peringkat 5 dari Proton City ke Taiping semalam, sekali lagi memilih detik yang tepat ketika memulakan henjutan beramai-ramai ke garisan penamat, kali ini menghampakan pasangan Terengganu Inc Cycling Team, Yousef Reguigui dan Harrif Saleh di akhir kayuhan sejauh 130.8km dari Bagan di Pulau Pinang ke Alor Setar.

Pelucchi, bekas pelumba pasukan World Team Bora-Hansgrohe yang dilamar Androni awal musim ini,  mengetuai kumpulan besar pelumba tiba di garisan penamat di hadapan Masjid Zahir Alor Setar, dengan catatan masa 2 jam 47 minit 19 saat, sekali gus meletakkannya selaku pakar pecut pilihan menjelang dua lagi baki peringkat di Pulau Langkawi, esok dan Sabtu ini.

Di akhir kayuhan Peringkat 6 itu, semua jersi rebutan tidak berubah dengan pelumba Team Sapura Cycling, Benjamin Dyball terus mengekalkan jersi kuning pendahulu keseluruhan, dengan masa terkumpul 24 jam  40 minit 12 saat, 27 saat di depan pencabar terdekat dari Interpro Cycling Academy, Hernan Aguirre.

Jersi hijau Raja Pecut juga masih dimiliki pakar pecut Floyd’s Pro Cycling yang memenangi Peringkat 3 di Putrajaya, Travis McCabe, dengan mengumpul 72 mata, 17 mata di depan Hariff dan 28 mata di depan Pelucchi.

Tanpa sebarang zon pendakian pada Peringkat 6 itu, pelumba Oliver’s Real Food Racing, Angus Lyons semakin menghampiri gelaran Raja Bukit pada edisi kali ke-24 ini, begitu juga dengan pelumba Vino-Astana dari Kazakhstan, Vadim Pronskiy yang terus menyarung jersi putih Pelumba Terbaik Asia.

Dengan laluan ke garisan penamat yang lurus di Alor Setar, Pelucchi sekali lagi memilih waktu yang tepat untuk memulakan pecutannya, biarpun suatu ketika kumpulan besar pelumba terpaksa bekerja keras untuk mengejar kumpulan kecil pelumba yang membuat breakaway sebaik perlumbaan bermula.

Namun, pasukan yang memasang sasaran untuk meletakkan pakar pecut mereka menjelang ke garisan penamat, berusaha keras untuk mengawal tempo kayuhan dan memastikan kumpulan di depan tidak dapat menjarakkan diri lebih jauh.

Beberapa kali, kumpulan pelumba breakaway cuba meloloskan diri, termasuk sekumpulan 9 pelumba pada awalnya, sebelum 15 pelumba lain menyertai kumpulan depan itu.

Namun, 24 pelumba dalam kumpulan pertama itu tidak bekerjasama dengan baik menyebabkan jurang 1:15s mudah ditangkap peloton.

Sekumpulan 5 pelumba lain turut mencuba nasib ketika jarak berbaki 25km tetapi sekali lagi mereka ditelan kumpulan besar pelumba.

“Pasukan saya bekerja dengan baik hari ini walaupun rentak kayuhan begitu laju. Strategi pasukan kami hari ini ialah menempatkan seorang pelumba dalam mana-mana kumpulan breakaway dan ia berhasil, sebelum beberapa kilometer ke garisan penamat.

“Saya mencari ruang di depan dan memulakan henjutan dengan baik walaupun cuba dicabar pelumba lain. Saya gembira dengan kemenangan peringkat berturut-turut ini dan kini lebih yakin untuk memburu kemenangan lagi selepas ini,” kata Pelucchi sambal berkata dia dihubungi pengurus pasukan Giani Savio yang mengucapkan tahniah sebaik menjuarai saingan di Taiping semalam.

Dyball juga mempamer kayuhan tenang untuk memastikan jersi kuning yang disarungnya tidak terlepas kepada pencabar lain, walaupun mengakui dia sekali lagi menghadapi hari yang cukup sukar dan meletihkan.

“Satu lagi hari yang sukar ketika menyarung jersi kuning. Ada banyak serangan demi serang oleh pelumba lain dan mujurlah pasukan Gazprom-Rusvelo yang tidak mempunyai pelumba dalam kumpulan depan, juga turut membantu mengejar kumpulan depan.

“Selepas dua hari berakhir peringkat di Genting, bagi saya kedudukan selaku pendahulu ini masih belum selamat dan kami jangkakan perkara yang sama pada dua baki peringkat di Langkawi. Ini pasti penghujung yang menarik dan sengit,” kata Dyball yang sememangnya tidak asing dengan bentuk saingan LTdL kerana pernah bersama pasukan benua St George sebelum ini.

Peringkat 7 LTdL 2019 diteruskan dengan kayuhan mengelilingi Pulau Langkawi dari Pantai Cenang dan berakhir di Pantai Cenang sejauh 106.8km esok, membabitkan tiga zon pecutan di Telaga Harbour, Nyior Cabang dan Padang Mat Sirat serta satu zon pendakian mudah di Telaga Harbour.

- Advertisement -