Penyokong Terengganu FC, (TFC) mahu memastikan inisiatif daripada Malaysian Footbal League, (MFL) yang membantu menaikkan taraf Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) tidak sia-sia untuk melihat venue tersebut akan terus dibanjiri penyokong dalam setiap perlawanan pada musim depan.

Wakil Pantai Timur itu tidak menolak usaha daripada MFL ibarat memberi sinar baharu kepada penyokong-penyokong skuad Penyu untuk kembali mewarnai stadium yang berkapasiti 50,000 orang itu dengan kualiti padang terbaik.

Salah seorang penyokong TFC, Mohd Fadhil Ab Manaf menyifatkan inilah masanya untuk mereka memastikan apa yang telah dijalankan itu berbaloi dengan inisiatif daripada penyokong juga agar mereka tidak pernah serik hadir ke stadium bagi setiap perlawanan.

Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang kini masih digunakan sebagai venue pasukan tidak pernah lekang daripada kemeriahan penyokong dan sudah semestinya mereka mengharapkan aura yang lebih kuat dapat dirasai di stadium baharu pada musim depan.

“Kita mengharapkan stadium baharu ini akan cepat siap sepenuhnya untuk pasukan beraksi pada musim depan.

“Apa yang penting adalah agar penyokong tetap datang membanjiri stadium sepertimana mereka lakukan di venue sekarang (Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah) yang sentiasa penuh dan padat.

“Saya percaya suasana nanti pasti lebih meriah, kapasiti penyokong lebih besar, tempat parkir kenderaan juga mudah dan fasiliti yang lebih selesa disediakan.

“Jadi, terima kasih kami ucapkan kepada MFL yang bekerja keras melaksanakan usaha ini untuk membantu TFC mendapatkan stadium terbaik”, katanya.

Sementara itu, seorang lagi penyokong, Ahmad Fadhil Jusoh pula membayangkan fasiliti di stadium baharu itu nanti mampu menyamai fasiliti yang disediakan oleh pasukan Johor Darul Ta’zim, (JDT).

Dia tidak menolak JDT sudah berada di kelas tersendiri daripada aspek fasiliti dan kualiti padang di mana mereka berharap TFC mampu mengikut jejak langkah yang telah dibawa oleh juara Liga Super enam kali itu pada masa akan datang.

“Bagi saya, tidak mustahil untuk TFC menjadi seperti JDT suatu hari nanti jika semua pihak bekerjasama untuk memajukan pasukan masing-masing.

“Kami sebagai penyokong TFC pun memuji apa yang telah dilakukan oleh JDT untuk kelab mereka daripada segala aspek dan saya percaya kualiti padang di SSMZA juga mampu jadi terbaik seperti JDT”, katanya.

- Advertisement -