Junior Cycling Malaysia (JCM) meneruskan lagi usaha memberi pendedahan antarabangsa kepada pelumba-pelumba remaja negeri apabila bakal menghantar 10 pelumba pilihan ke kejohanan  Lomba Customs Cycling(LCC) Series di Bali minggu depan.

Ini merupakan kali kedua JCM menghantar pelumba untuk menimba pengalaman antarabangsa selepas kali pertama di Jelajah Eropah Julai lalu selama sebulan.

Barisan pelumba yang terpilih telah dinilai oleh Jurulatih JCM melalui siri kejohanan kriterium, lumba lebuhraya dan trek anjuran JCM sepanjang tahun 2016 dan 2017 dah telah menunjukkan prestasi cemerlang dan konsisten.

Mereka yang tepilih ialah Sanim Fitri Abdul Halim, Ibni Hissham Abd Raof, Justin Felix Nagel, Adam Haiqal Shairul Faizal,Afiq Iskandar Hasyim, Syazwan Amanie Asrul Afpendi, Faiz Shaiful Rizal, Nur Aiman Rusli, Nor Fahmie Mohammad Ismail Abdullah, dan Keischmman Kumaresan.

Menurut Pengarah Pembangunan JCM, Graham Seers, kejohanan LCC merupakan peluang yang baik untuk pendedahan dan menguji pelumba-pelumba terpilih kerana penganjuran kejohanan ini menyerupai Tour de France.

“Penyarung jersi kuning ditentukan melalui kiraan masa terpantas untuk 3 acara berbeza selama 3 hari mengikut kategori masing-masing dan ianya pendedahan yang baik untuk pelumba-pelumba menimba pengalaman berharga.”

“Sudah pasti pelumba-pelumba remaja di Indonesia tidak memberi laluan mudah selaku tuan rumah dan hal ini tidak menggugat semangat Skuad JCM untuk memberi saingan sengit. Secara tidak langsung menerapkan sifat ingin menang dalam kalangan pelumba” katanya.

Skuad Pilihan JCM bakal bersaing dalam acara kriterium, lumba lebuhraya dan ujian masa individu bagi kategori Lelaki B-17 tahun dan Lelaki B-19 tahun di LCC Series Bali yang akan berlangsung selama 3 hari bermula 8 November hingga 10 November ini.

Junior Cycling Malaysia adalah sebuah program pembangunan akar umbi hasil inisiatif Kemeterian Belia dan Sukan(KBS) dan Majlis Sukan Negara(MSN) dengan misi membangunkan landskap sukan berbasikal Negara dan menggilap bakat pelumba seterusnya melahirkan pelumba berprestasi tinggi.

- Advertisement -