100PLUS.latestOleh Muhammad Aiman

Diam-diam ubi berisi. Mungkin itu perumpamaan paling sesuai untuk menggambarkan prestasi semasa pasukan berstatus kelab, PKNS Selangor yang sedang meniti prestasi terbaik mereka selepas merekodkan enam kemenangan dalam enam perlawanan terakhir.

Pada ketika tumpuan pemerhati sukan, pengamal media mahupun peminat bolasepak tempatan lebih terarah kepada transformasi bolasepak Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Perlis, PKNS Selangor yang bermula dengan kekalahan dalam dua aksi pertama 100PLUS Liga Premier kini melonjak berada di kelompok empat teratas dan sudahpun sebelah kaki untuk mara ke separuh akhir Piala FA.

Ironinya, ia adalah prestasi terbaik PKNS Selangor sejak mereka menjuarai Liga Perdana 2011 selepas mencatat 11 kemenangan berturut-turut dan rentetan kemenangan dicatat pasukan itu yang beraksi dalam saingan Liga Perdana selepas menduduki tangga tercorot Liga Super 2014 adalah yang kedua terbaik dalam saingan Liga Malaysia 2016 setakat ini. 

Hanya juara bertahan Liga Super, Johor Darul Takzim memiliki rekod yang lebih baik dengan catatan 10 kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan Liga Malaysia dan Piala AFC.

Pengendali pasukan, E.Elavarasan memberikan kredit kepada pemainnya terutama pemain import di atas aksi cemerlang mereka ketika ini, dan berharap mereka akan mengekalkan momentum ini dalam membantu PKNS Selangor mencabar kejuaraan liga mahupun Piala FA secara serius.  

“Mood di kem pasukan sangat ceria, semuanya positif. Adalah penting kita terus berpijak di bumi nyata dan tidak terbuai dengan prestasi ketika ini. Kita miliki barisan pemain yang bagus dan saya dapat lihat pemain tempatan mahupun import tunjukkan keserasian yang baik, pemain import menyumbang sepertimana yang kita harapkan.  

“Penting untuk tidak terlalu ghairah dan fokus perlawanan demi perlawanan, perjalanan kita masih lagi panjang apa sahaja boleh berlaku jika kita leka.  Saya harap rentak sama seperti ini dapat kita kekalkan,” ujarnya.

Meskipun melepaskan tonggak import yang juga ayam tambatan mereka, Patrick Ronaldinho Wleh kepada Selangor, PKNS berjaya merekrut pengganti dengan kualiti setanding menerusi kelibat penyerang Palestin kelahiran Chile, Matias Jadue dan penggempur dari Argentina, Juan Manuel Cobelli. 

PKNS membuka kempen 100PLUS Liga Premier 2016 dengan kekalahan 0-1 kepada Kuala Lumpur diikuti 1-2 kepada Melaka.

Namun setelah mengejutkan pasukan Liga Super, Terengganu dalam saingan Piala FA, PKNS ibarat mengalami revolusi menyeluruh dan mencatat lima lagi kemenangan selepas itu iaitu ke atas ATM, Sime Darby dan Perlis termasuklah menyingkirkan pendahulu Liga Super Felda United di pusingan ketiga Piala FA. 

- Advertisement -