100PLUS.latestSatu mata dari lima perlawanan dan tanpa sebarang kemenangan dalam saingan 100PLUS Liga Premier sudah tentunya permulaan yang cukup mengecewakan bagi sebuah pasukan yang dilabel berupaya memberi tentangan sengit untuk mencabar kejuaraan Liga Premier musim ini.

Jika situasi itu tidak cukup membimbangkan, Sabah kini terperosok di kedudukan kedua tercorot liga setelah tewas empat daripada lima perlawanan pembukaan sekaligus memberi petanda bahawa tiada lagi masa untuk mereka berlengah dan langkah drastik perlu segera diambil bagi mengembalikan kepercayaan peminat skuad dari Borneo itu.

Bermasalah sejak sebelum sepak mula saingan 100PLUS Liga Premier 2016 apabila Azraai Khor Abdullah meletak jawatan gara-gara campur tangan pihak luar dalam pemilihan pasukan dan tempatnya diganti oleh Vejran Simunic, prestasi semasa skuad yang dikenali dengan jolokan sang badak itu menampakkan betapa  kemelut yang melanda pasukan itu masih terlalu jauh untuk selesai.

Setelah tewas empat perlawanan berturut-turut kepada Uitm FC, Kuantan FA, KL DRB Hicom dan Kuala Lumpur, Sabah hampir menoktahkan penantian panjang untuk mencatat kemenangan sulung dalam aksi liga apabila mendahului 2-1 ketika menentang Melaka United di Likas minggu lalu, namun sekadar berpuas hati meraih satu mata setelah Melaka bangkit menyamakan kedudukan 2-2.

Tatkala Simunic sudah tentunya mengharapkan mata pertama pasukannya bagi musim ini berupaya menjadi pemangkin untuk mencetus kebangkitan dan motivasi bagi prestasi yang lebih baik selepas ini, dia juga pastinya sedar betapa ranjau berliku sedang menantinya dalam usaha mengembalikan Sabah ke landasan kemenangan.

Tidak seperti era kegemilangan bola sepak mereka yang pernah menyaksikan nama-nama seperti Matlan Marjan, Andrew Laban, Yap Wai Loon, Suharmin Yusof, Jelius Ating dan ramai lagi mewarnai pentas bolasepak tanah air, Sabah yang melalui revolusi besar-besaran menyandarkan sepenuhnya harapan kepada kudrat anak muda tempatan yang baru mahu menempa nama seperti Maxsius Musa, Leopold Alfonso dan Rozaimi Rohim.

Walaupun prestasi Sabah dalam saingan Piala FA dilihat lebih baik apabila mara ke peringkat suku akhir untuk bertemu skuad Liga Super Kedah, pada hakikatnya ia tidak sedikitpun memperlihatkan mereka sebagai sebuah pasukan yang wajar digeruni. Ini kerana mereka sekadar menyingkirkan dua pasukan lemah, MOF FC (Liga FAM) dan ATM pada dua pusingan yang terdahulu. 

Justeru, selain faktor persefahaman antara pemain dan pemahaman terhadap corak permainan dan taktikal yang diterap, aspek utama yang dilihat perlu penambahbaikkan segera adalah barisan defensif Sabah yang setakat ini sudahpun dibocori sebanyak 15 gol dalam lima aksi liga – purata 3 gol setiap perlawanan.

Berdasarkan komen dan pandangan yang dilontarkan peminat di laman media sosial rasmi Sabah, rata-ratanya berpendapat Simunic sudahpun berjaya mengenalpasti kelemahan yang menjadi punca aksi pincang pasukan itu dan keputusan seri menentang Melaka adalah permulaan kepada musim yang lebih baik.  

Salah seorang peminat tegar pasukan itu, Emmanuel Ibau menulis : “Bek kiri sentiasa bermasalah, banyak serangan lawan berpunca dari sebelah kiri. Simunic telah mencuba beberapa pemain di posisi itu dan nampaknya ia membuahkan hasil. Jurulatih mengambil masa lama untuk kesan kelemahan pasukan tetapi ianya lebih baik sekarang daripada langsung tiada.”

Sementara Fredolin Kimin pula berpendapat, “Rata-rata pemain Sabah musim ini bukan taraf Liga Perdana. Kita cuma ada dua atau tiga pemain tempatan yang ada pengalaman, selebihnya wajah baru jadi kita perlu beri mereka peluang. Kita hampir tewaskan Kuala Lumpur, kemudian kita seri dengan Melaka, memang kesan positif itu ada jadi kita harapkan ia akan menjadi satu permulaan kebangkitan buat Sabah.” 

Cabaran pertama Simunic apabila saingan 100PLUS Liga Premier kembali bersambung pada 4 April depan adalah perlu memacu Sabah untuk berada di kedudukan lima teratas ketika tamatnya aksi pusingan pertama liga – kedudukan yang akan membolehkan mereka layak beraksi dalam saingan Piala Malaysia mengikut peraturan baru yang diperkenalkan oleh Football Malaysia LLP.

Hanya selepas itulah, mereka boleh memikirkan ataupun meletakkan sasaran yang lebih relevan terhadap pasukan itu, musim ini.

- Advertisement -