Usaha Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) untuk membantu meringankan beban kewangan Persatuan Hoki Negeri dan Ahli Gabungan yang bernaung di bawah KHM ketika berdepan wabak Pandemik Covid-19 dengan menyalurkan Geran Pentadbiran menjadi satu kelegaan buat 16 Persatuan Hoki tersebut.

Semalam, Presiden KHM, Dato’ Sri Subahan Kamal telah memaklumkan Geran Pentadbiran sejumlah RM 10 ribu diberikan kepada setiap 14 Persatuan Hoki Negeri dan dua Ahli Gabungan sebagai langkah untuk membantu mereka yang pastinya terkesan semenjak penularan wabak Pandemik Covid-19 melanda dunia.

Bagi Presiden Persatuan Hoki Negeri Perak, Mohd Sayuti Abd Samat geran yang disalurkan adalah tepat pada masanya melihat kepada situasi Pasukan Hoki yang telah berbelanja ketika menyertai saingan Piala Tun Abdul Razak baru-baru ini serta keadaan penularan wabak Pandemik Covid-19.

“Melihat kepada keadaan semasa yang perlu dihadapi oleh semua pihak, sudah semestinya penghargaan perlu diberikan kepada KHM terutamanya Presiden, Dato’ Sri Subahan Kamal di atas inisiatif yang diambil oleh beliau bersama barisan kepimpinan yang lain dalam membantu meringkan masalah kewangan yang dihadapi oleh persatuan hoki negeri.

“Saya sangat bersetuju dengan tindakan yang dilakukan oleh KHM iaitu memberikan Geran Pentadbiran kerana melihat kepada situasi Persatuan Hoki Negeri terutamanya Perak, kami sangat memerlukan geran tersebut kerana persatuan telah berbelanja banyak ketika menyertai Piala Tun Abdul Razak, baru-baru ini. Jadi keputusan yang dibuat KHM sememangnya adalah keputusan tepat,” jelasnya.

Turut senada ialah Presiden Persatuan Hoki Melaka, Habibul Ajmi Manggar yang melihat penularan wabak Pandemik Covid-19 nyata meninggalkan kesan kepada banyak pihak selain turut menyatakan sokongan terhadap usaha-usaha yang telah dilakukan oleh KHM.

“Persatuan Hoki Melaka mengucapkan ribuan penghargaan dan terima kasih kepada KHM kerana keprihatinan yang ditunjukkan dengan menyalurkan Geran Pentadbiran kepada setiap negeri juga ahli gabungan. Geran tersebut sangat membantu kami dalam berdepan masalah kegawatan akibat daripada penularan wabak Pandemik Covid-19.

“Kami menyokong penuh usaha KHM yang berada di bawah kepimpinan Dato’ Sri Subahan Kamal dalam memajukan dan memartabatkan sukan hoki negara ke arah yang lebih baik serta profesional. Kami sentiasa berpandangan positif dan menyambut baik segala usaha yang dilakukan KHM. Semoga sukan hoki berjaya untuk mencapai tahap tertingggi seperti yang telah disasarkan,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Persatuan Hoki Angkatan Tentera Malaysia, Leftenan Kolonel Mohamad Azri Awang turut melihat geran yang disalurkan bukan hanya boleh digunakan bagi membantu persatuan dari segi kewangan namun ia juga boleh digunakan sebagai dana tambahan untuk merangka aktiviti lain di peringkat persatuan negeri.

“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Persatuan Hoki Angkatan Tentera Malaysia (PHAT) amat bersyukur dan berterima kasih kepada KHM di atas inisiatif memberikan Geran Pentadbiran. Ia merupakan satu usaha yang amat baik bagi memperkasakan lagi pembangunan dan prestasi sukan hoki di Malaysia.

“Geran yang telah disalurkan itu juga boleh dimanfaatkan oleh semua pihak seperti dengan menggerakkan program pembangunan serta merangka sesi latihan yang lebih berkesan. Saya juga berharap semoga prestasi pasukan bagi setiap ahli gabungan semakin maju agar persaingan di antara pemain juga semakin meningkat untuk dipilih mewakili negara satu hari nanti,” ujarnya. 

- Advertisement -