Cerita panas melibatkan skuad Program Pembangunan Bolasepak Negara bermula sebaik skuad bawah 16 tahun negara gagal melangkah ke peringkat suku akhir Kejuaraan AFC Bawah 16 tahun pagi tadi.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi kenyataan media hari ini mengesahkan khidmat pengendali berusia 55 tahun itu ditamatkan.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan, ia diputuskan sendiri oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

“Keputusan dibuat berdasarkan prestasi skuad negara yang tidak melepasi saingan peringkat kumpulan.

“Datuk Hamidin sudahpun mengarahkan Timbalan Presiden FAM, Dato’ Sri Subahan Kamal memanggil Jawatankuasa Teknikal & Pembangunan Bola Sepak Belia FAM bermesyuarat bersama Pengarah Teknikal FAM, Peter de Roo secepat mungkin untuk membentuk panel pemilihan bagi mencari pengendali baharu skuad B-16 kebangsaan dan cadangan mereka itu akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk diputuskan,” kata Stuart.

Stuart juga mengucapkan terima kasih kepada penyokong yang tampil memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada skuad negara.

“FAM menghargai sokongan penyokong dan kami berharap kelompok pemain ini akan diasuh dan matang untuk dijadikan teras skuad senior dalam masa lima dan enam tahun akan datang.”

Skuad Malaysia B-16 dibarisi kebanyakannya kelompok pertama yang dibentuk menerusi Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) sejak empat tahun lalu.

Skuad negara melakar kemenangan di saingan pembuka tirai dengan menewaskan Tajikistan 6-2, tetapi kemudian tewas 4-2 dengan Thailand dan ditundukkan Jepun 2-0.

Dalam pada itu, Pengarah NFDP, Safirul Abu Bakar turut melepaskan jawatannya dan telah menghantar surat perletakkan jawatan kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini.

“Beliau (Safirul) mengambil inisiatif sendiri untuk menghantar surat perletakkan jawatan beliau. Terima atau tidak saya perlu berbincang dahulu dengan jawatankuasa diantara Majlis Sukan Negara, NFDP, dan FAM,”kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

Malah, kontrak Lim Teong Kim yang tamat pada 2020 bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan dikaji.

“Saya difahamkan pakej gaji beliau (Lim Teong Kim) mencecah RM 175 000 dan pada masa ini dibiayai sepenuhnya oleh Majlis Sukan Negara.

“Saya musykil sedikit dengan kekangan kewangan tetap pengurus dibayar RM 175 000 sebulan. KPI untuk layak ke Piala Dunia B17 diletakkan oleh beliau sendiri,”katanya lagi. – OLEH KU MOHD LUFTI 

- Advertisement -