Johor Darul Takzim (JDT) dan Kedah menampilkan aksi garang di separuh masa kedua untuk mengesahkan tempat masing-masing di final Piala Malaysia.

Kedua-dua pasukan yang bermain di gelanggang sendiri mencatat kemenangan di separuh akhir kedua dengan JDT menewaskan Perak 3-0 (agregat 4-1) manakala Kedah pula mengetepikan tentangan Felda United dengan jaringan 2-0 (agregat 3-1).

Ini adalah kali ketiga berturut-turut Kedah yang merupakan juara bertahan mara ke final manakala bagi JDT ianya kali kedua setelah melakukannya pada tahun 2014. Aksi final edisi kali ini akan berlangsung pada 4 November depan.

Dalam aksi di Stadium Larkin, Harimau Selatan menafikan impian besar Perak bimbingan Mehmet Durakovic untuk mara ke final pertama selepas 10 tahun.

Setelah gagal memecah kebuntuan di separuh masa pertama, Gonzalo Cabrera menceriakan hampir 30,000 penyokong tuan rumah setelah percubaannya berpunca dari hantaran Gabriel Guerra gagal diselamatkan penjaga gol Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam pada minit ke-57.

Minit ke-74 giliran Guerra mencetak nama sebagai penjaring setelah menyudahkan umpanan Afiq Fazail sebelum Cabrera melengkapkan kemenangan bergaya JDT dengan meledak gol kedua peribadi pada minit ke-80.

Dalam aksi berlangsung di Stadium Darul Aman, Sandro Mendonca muncul wira Lang Merah apabila meledak dua jaringan pada minit ke-71 dan 85 sekaligus mengecewakan Felda United yang memburu penampilan final pertama.

Biarpun turun tanpa beberapa pemain tonggak seperti Khairul Helmi Johari, Ken Ilso Larsen dan Liridon Krasniqi, Kedah bimbingan Nidzam Adha Yusoff tampil cemerlang mengimbangi permainan tatkala Felda rancak mengatur serangan memburu jaringan menerusi gandingan empat serangkai di barisan depan Norsharul Idlan Talaha-Ifedayo Olusegun-Wan Zack Haikal- Thiago Augusto.   

Kekalahan juga menyaksikan The Fighters gagal membalas dendam kekalahan di peringkat sama kepada Kedah pada 2015 dan sekali lagi berputih mata menamatkan musim tanpa sebarang trofi.OLEH MUHD AIMAN 

- Advertisement -