foto – Northen Lion Perlis

Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie menyatakan kesediaan pihaknya untuk menerima apa saja keputusan yang bakal diumumkan oleh Malaysia Football League (MFL) mengenai kedudukan mereka dalam saingan Liga Premier musim ini.

Kedudukan kewangan skuad Singa Utara dan enam lagi pasukan Liga Malaysia yang berdepan masalah tunggakan gaji kini sedang dinilai oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas mereka menerima segala dokumen kewangan daripada pasukan terbabit pada Isnin lalu.

Keputusan mengenai tindakan yang bakal diambil ke atas tujuh pasukan itu dijangka diketahui sama ada pada Rabu atau Khamis, di mana disingkirkan daripada saingan Liga Malaysia juga adalah salah satu bentuk hukuman yang menanti.

Bagi Amizal, terpulang kepada MFL untuk membuat penilaian dan menentukan jenis hukuman, jika PFA didapati berhak untuk dikenakan tindakan.

“Apa yang MFL minta Perlis buat, kita buat dengan menghantar segala dokumen kewangan yang diperlukan selebihnya kita berserah kepada MFL. Apa saja keputusan MFL kita akan terima,” katanya tanpa rasa bersalah.

Kedudukan Perlis dalam saingan Liga Premier semakin hangat diperkatakan apabila hampir separuh daripada pemain pasukan itu nekad membuat keputusan meninggalkan pasukan dengan yang terbaru adalah kapten pasukan Safee Sali.

Amizal berkata PFA tidak ada masalah untuk melepaskan Safee menyertai kelab Liga Super PJ City FC manakala sekurang-kurangnya lima lagi pemain turut menyatakan hasrat untuk mengikut jejak langkah pemain kebangsaan itu keluar termasuklah Badri Radzi, Kyril Muhaimeen, Azmi Muslim dan Shahril Shaari.

“Pemain yang dapat tawaran luar, kalau mereka mahu pergi, kami akan beri pelepasan, Ada empat, lima pemain menyatakan niat secara rasmi (keluar), tapi kami belum buat apa-apa keputusan sama ada nak lepaskan mereka.

“Kita masih cuba sedaya upaya menyelesaikan masalah berbangkit ini, kita cuba bertahan selagi mana mampu, kita tahu pemain utama keluar tapi akan teruskan perancangan, kita juga ada perancangan lain,” katanya. MUHD AIMAN 

- Advertisement -