
Beregu lelaki negara, Kang Khai Xing dan Lok Hong Quan, serta beregu wanita Dania Sofea dan Tan Zhing Hui antara wakil Malaysia yang mencatat kemenangan pada pusingan 16 Kejohanan ALLIANZ Malaysia SUPER 100 2026 hari ini.
Kang Khai Xing – Lok Hong Quan mempamerkan aksi meyakinkan untuk menewaskan beregu Jepun, Takuto Goto dan Tsubasa Yoshida, 21-17, 21-19 bagi meneruskan kemaraan dalam kejohanan tersebut.
Lok Hong Quan berkata beliau gembira dapat bergandingan dengan pasangan berbeza kali ini selepas sekian lama bermain bersama Faiz, selain teruja mempelajari corak permainan baharu, khususnya dari segi kawalan permainan dan intensiti perlawanan.
“Saya gembira mendapat peluang untuk bermain dengan pasangan berbeza kali ini kerana saya sudah lama bergandingan dengan Faiz.
“Saya teruja untuk merasai corak permainan yang berbeza, terutama dari segi kawalan pukulan, keseimbangan antara serangan dan pertahanan serta intensiti permainan,” katanya.
Kang Khai Xing pula berkata komunikasi antara mereka semakin baik dan berharap gandingan itu dapat terus menunjukkan prestasi terbaik dalam perlawanan seterusnya.
“Seperti yang saya katakana sebelum ini, kami mengambil pendekatan selangkah demi selangkah tanpa terlalu memberikan tekanan kepada diri sendiri, dan komunikasi di gelanggang juga semakin baik.
“Saya berharap kami dapat terus memberikan yang terbaik. Hari ini, kami lebih berani bermain tanpa terlalu banyak melakukan ‘no lift’ dan cuba memberikan tekanan kepada lawan, bukannya membiarkan permainan menjadi perlahan,” katanya.
Dalam acara beregu wanita, Dania Sofea dan Tan Zhing Hui turut melakar kemenangan selepas menundukkan pasangan India, Priya Konjengbam dan Shruti Mishra, 21-15, 24-22.
Liew Xun dan Nicole Tan juga meneruskan cabaran Malaysia selepas menewaskan rakan senegara, Wee Yee Hern dan Vannee Gobi, 21-17, 21-13, 21-12.
Bagaimanapun, beberapa wakil negara terpaksa akur dengan kekalahan masing-masing. Vanessa Ng dan Tan Zhing Yi tewas kepada pasangan Thailand, Hathaithip Mijad dan Napapakorn Tungkas, 8-21, 15-21.
Cheng Su Hui dan Chong Jie Yu pula gagal mengatasi cabaran beregu Thailand, Ornnicha Jongsathaporn – Sabrina Sophita Wedler, selepas tewas 21-14, 16-21, 24-26.
Dalam acara perseorangan lelaki, Justin Hoh tewas kepada pemain Indonesia, Richie Duta Richardo, 10-21, 18-21, manakala Sholeh Aidil turut tersingkir selepas tewas kepada pemain China, Zhu Xuan Chen, 18-21, 21-8, 9-21.
Kejohanan ALLIANZ Malaysia SUPER 100 2026 berlangsung dari 13 hingga 18 Oktober di Arena Tertutup, Kompleks Sukan EduCity, Iskandar Puteri, Johor.






























