
Pemain perseorangan lelaki negara, Justin Hoh, memulakan kempen ALLIANZ Malaysia SUPER 100 2026 dengan kemenangan selepas menewaskan pemain Korea Selatan, Kim Hae-deun, 21-15, 21-16 di Arena Tertutup, Kompleks Sukan EduCity, hari ini.
Justin yang menduduki ranking ke-39 dunia berpuas hati dengan persembahan pembukaannya dan bertekad untuk meneruskan momentum kemenangan itu dalam usaha memburu gelaran di laman sendiri.
“Saya sangat gembira dapat memenangi perlawanan ini dan berharap dapat beraksi dengan lebih baik esok. Kejohanan ini amat penting bagi saya kerana berlangsung di halaman sendiri, dan saya berharap dapat memenangi gelaran untuk Malaysia,” kata Justin.
Justin menjelaskan bahawa strategi permainannya tertumpu kepada serangan balas, selain mengakui telah mengkaji corak permainan lawan terlebih dahulu sebagai persiapan menghadapi perlawanan tersebut.
Dalam acara perseorangan lelaki, Cheam June Wei tewas kepada pemain China, Dong Tian Yao, 23-21, 21-11. Aidil Sholeh pula menewaskan rakan senegara, Razeeq Danial, 21-11, 21-13 dalam pertembungan sesama pemain Malaysia.
Kempen Ong Zhen Yi turut berakhir selepas tewas kepada pemain China, Wang Zi Jun, 17-21, 14-21. Jacky Kok Jing Hong turut mengalami nasib sama apabila tewas kepada Dong Tian Yao, 14-21, 14-21.
Eogene Ewe juga gagal meneruskan kemaraan selepas tewas kepada pemain India, Tushar Suveer, 13-21, 17-21 dalam acara perseorangan lelaki.
Dalam acara perseorangan wanita, Eng Ler Qi tewas kepada pemain India, Malvika Bansod, 7-21, 14-21.
Goh Jin Wei turut tersingkir selepas tewas kepada pemain Indonesia, Thalita Ramadhani Wiryawan, 17-21, 16-21.
Lim Zhi Shin juga gagal meneruskan kemaraan dalam acara perseorangan wanita selepas tewas kepada pemain China, Xu Wen Jing, 13-21, 19-21.
Kisona Selvaduray tidak turun beraksi dalam perlawanan perseorangan wanita yang dijadualkan menentang pemain Chinese Taipei, Wang Pei Yu, dengan lawannya diberikan kemenangan tanpa bertanding (walkover).
Dalam acara beregu campuran, pasangan Malaysia, Tan Zhi Yang dan Teoh Mei Xing, gagal meneruskan kemaraan selepas tewas kepada pasangan Korea Selatan, Jin Sung-ik dan Lee Seung-hee.
Kejohanan ALLIANZ Malaysia SUPER 100 2026 berlangsung dari 13 hingga 18 Oktober di Arena Tertutup, Kompleks Sukan EduCity, Iskandar Puteri, Johor. Pemain-pemain Malaysia akan meneruskan cabaran masing-masing dengan harapan memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.



























