Penjaga gol baharu Sabah FC, Khairul Fahmi Che Mat tidak menjadikan statusnya selaku pemain lebih berpengalaman sebagai tiket untuk berasa selesa sambil menyifatkan persaingan tetap sengit bagi merebut tempat dalam skuad utama pada musim ini.

Selain Khairul Fahmi, bekas penjaga gol Negeri Sembilan FC iaitu Damien Lim antara yang turut dipanggil menyertai skuad Sabah sekaligus akan menghadirkan pertarungan sengit antara mereka untuk menjadi penjaga gol utama.

Namun, bekas penjaga gol Kelantan yang lebih dikenali sebagai Apek ini menganggap Damien juga merupakan pemain berkualiti yang berjaya mencuri perhatian pengendali, Datuk Ong Kim Swee untuk memperkuatkan gawang pasukan.

Justeru, meskipun Apek dianggap penjaga gol yang lebih berpengalaman, namun itu tidak bermakna dia perlu ambil mudah untuk merebut tempat.

“Saya setuju dengan apa yang pernah dikatakan oleh Damien di mana ia akan menjadi persaingan yang sengit antara kami dan juga penjaga gol lain untuk merebut tempat.

“Apabila kita berada dalam satu pasukan yang sama, semua pemain akan bersaing bersungguh-sungguh dan ini sebenarnya akan menjadi motivasi kepada saya juga.

“Sudah tentu, saya juga kena bekerja lebih keras untuk memastikan posisi dalam kesebelasan utama dan tidak boleh ambil mudah dalam setiap perlawanan”, katanya.

Dalam masa sama, Apek menjelaskan keputusannya untuk berhijrah ke Sabah adalah disebabkan kredibiliti yang ada pada diri Kim Swee selain teruja dengan kehadiran pemain lain seperti Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali.

Dia juga punya sasaran peribadi di mana ingin bantu Sabah mendapatkan pencapaian yang belum pernah diraih terutamanya di pentas Liga Super dan Piala Malaysia.

“Semestinya saya ingin mencapai sesuatu dengan Sabah yang mana belum pernah lagi mereka capai, dan saya ingin menjadi sebahagian sejarah baharu dengan Sabah.

“Cuma kita kena ingat dengan kehadiran pemain-pemain baharu yang lain ke Sabah, sudah pasti ramai yang meletakkan harapan yang tinggi tetapi jika diberi masa, saya percaya kami mampu buat terbaik untuk membanggakan penyokong Sabah pada musim ini”, tambahnya.

Terdahulu, Sabah telah menamatkan saingan Liga Super 2021 di tangga kesembilan selain turut mara ke suku akhir TM Piala Malaysia 2021.

- Advertisement -