Selepas menghabiskan sepanjang kariernya beraksi dengan Kelantan, penjaga gol berpengalaman, Khairul Fahmi Che Mat bakal menyarung jersi pasukan lain buat kali pertama dengan Melaka dengan Melaka hampir pasti menjadi pilihannya.

Sumber Sports247 mengesahkan sebaik sahaja diberitahu melalui laporan media bahawa khidmatnya sudah tiada dalam perancangan Fajr Ibrahim, ia telah menarik perhatian beberapa pasukan yang mahu memantapkan posisi penjaga gol.  

Adalah diketahui Kuala Lumpur satu-satunya menyatakan minat secara terbuka namun beberapa pasukan lain telahpun mengambil langkah segera berunding bagi mendapatkan khidmatnya termasuklah Melaka yang dilaporkan telah berhubung dengan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).

Beberapa hari lalu, nama Khairul Fahmi menjadi trending setelah Presiden KAFA, Bibi Ramjani memberitahu media bahawa khidmat pemain berusia 29 tahun itu tidak lagi diperlukan Kelantan tanpa memaklum mahupun mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan pemain itu.

Ini sekaligus mengundang rasa terkilan dan kecewa Khairul Fahmi, apatah lagi dia telah menjadi penjaga gol utama pasukan itu sejak 2010 dan menjulang semua kejuaraan domestic yang dipertandingkan termasuklah kejayaan treble bersejarah pada 2012.

Khairul Fahmi yang turut pernah memenangi pingat emas Sukan SEA dan Piala AFF Suzuki 2010 baru-baru ini kembali dipanggil Tan Cheng Hoe ke kem kebangsaan dan beraksi ketika menang ke atas Bhutan 7-0 namun tiba-tiba dimaklumkan tiada dalam perancangan jurulatih kononnya kerana tidak kena dengan taktikal yang diterap.    

Kehadiran Khairul Fahmi di Melaka sememangnya sangat diperlukan apatah lagi pasukan itu sedikit goyah di benteng terakhir tatkala Zamir Selamat yang merupakan bekas penjaga gol Harimau Muda dan Perak belum menunjukkan prestasi yang meyakinkan, setakat ini sudah bolos 11 gol dalam enam perlawanan Liga Super. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -