Penyerang Harimau Malaya, Shahrel Fikri Md Fauzi mengakui sedikit kecewa tidak dapat menampilkan prestasi terbaik ketika menentang Vietnam dalam aksi ketiga peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki 2018 pada minggu lalu.

Malaysia tewas 0-2 pada perlawanan di Hanoi itu dan ianya adalah kali pertama penyerang Nakhon Ratchasima ini bermain dalam kesebelasan utama selepas sekadar turun sebagai pemain gantian dalam dua perlawanan awal menentang Kemboja dan Laos.

Begitupun, Shahrel Fikri berharap ia tidak merubah keyakinan penyokong terhadap kelibatnya dan berjanji tampil dengan lebih baik seandainya terus diberikan kepercayaan oleh Tan Cheng Hoe untuk mengisi kesebelasan utama pasukan.

“Memang terkilan kerana tidak menjaringkan gol untuk membantu pasukan, mungkin sebab kali pertama bermain dalam kesebelasan utama jadi sedikit gugup. Saya tahu sebagai penyerang apa yang diharapkan dari saya adalah jaringan gol dan saya akan buat yang sebaik mungkin untuk melakukannya ketika menentang Myanmar nanti,” jelasnya.

Shahrel Fikri atau mesra disapa Eky turut meluahkan keyakinan bahawa Harimau Malaya mampu menundukkan pasukan Myanmar dalam perlawanan getir pada sabtu ini bagi memastikan kemaraan Malaysia ke saingan separuh akhir Piala AFF Suzuki 2018.

“Kami kena bangkit memperbaiki kesilapan tiga perlawanan sebelum ini, aksi menentang Vietnam kami mengawal perlawanan, namun gagal menjaringkan gol. Jadi isu ketika ini adalah kami tidak cukup tajam di barisan depan dan jika diberikan peluang saya mahu menebus kesilapan-kesilapan dalam perlawanan lalu,” ujarnya lagi.

Sebagai rekod, Malaysia ketika ini menduduki tangga ketiga Kumpulan A di belakang Myanmar dan Vietnam dengan mengumpul enam mata.

Perlawanan menentang Myanmar adalah hidup mati buat skuad Tan Cheng Hoe di mana sebarang keputusan selain kemenangan mungkin menyaksikan Malaysia terpaksa berputih mata mengucapkan selamat tinggal lebih awal kepada saingan edisi ke-12 ini – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -