Ketua Jurulatih skuad trek negara, John Beasly mengesahkan jaguh keirin dunia ketika ini, Azizul Hasni Awang akan mengambil bahagian dalam dua acara di Sukan SEA ke 29 Ogos depan.

Malah, senarai penuh pelumba trek yang akan mengambil bahagian dijangka di umum dua minggu sebelum acara itu bermula pada 27 Ogos.

“Di peringkat ini, Azizul dilihat bersedia untuk berlumba dalam acara Keirin dan Pecut kerana prestasi semasanya dan keadaan fizikal yang baik.

“Atlet lain akan turut beraksi tetapi ia bergantung kepada prestasi siapa yang lebih baik sekaligus mendapat tempat untuk baki slot yang ada,” kata Beasly.

Tambah Beasly lagi senarai pelumba akan berubah dan ia bergantung kepada atlet itu sendiri samada mampu untuk mengekalkan kondisi badan dan prestasi di tahap maksimum sehingga ke hari pertandingan.

“Polisi kami, tidak kira sesiapapun, pemilihan adalah berdasarkan tahap persediaan mereka kerana kami mahu mendapatkan keputusan yang terbaik untuk Malaysia,” katanya lagi.

Selain Azizul, pelumba yang dijangka turut mengambil bahagian dalam acara keirin adalah Mohd Firdaus Shahrom yang menduduki kedudukan 10 terbaik dunia.

“Persiapan perlu dilakukan dengan rapi andai kami mahu meraih emas dan perak dalam acara keirin kerana dua pelumba ini berada di ranking 10 terbaik dunia,”kata Beasly lagi.

Acara trek bakal bermula dari 27 hingga 29 Ogos di Velodrom Kebangsaan, Nilai menyaksikan kesemua negara mengesahkan penyertaan di Sukan SEA ke 29 kelak, namun Beasly tidak mahu memandang ringan kemampuan pelumba negara lain. – OLEH KU MOHD LUFTI

- Advertisement -