
Cabaran Malaysia di Deaflympics Tokyo 2025 diteruskan dengan aksi bercampur pada Hari Ke-4, dengan kejayaan pelari negara ke final serta prestasi memberangsangkan skuad badminton negara.
Di Stadium Olahraga Olympic Park, pelari jarak sederhana negara, Azlan Kuste, mempamerkan larian meyakinkan untuk menempah slot ke final acara 1,500m dalam penampilan sulungnya di Deaflympics.
Bermula di lorong lapan dan agak ketinggalan pada awal perlumbaan, atlet kelahiran Sabah itu bijak menyimpan tenaga sebelum membuat pecutan mantap pada pusingan terakhir untuk menamatkan perlumbaan di tempat keenam dan meraih slot terakhir ke final. Azlan mencatat masa 4minit 14.69.
âSyukur Alhamdulillah, saya berjaya mendapat tempat keenam. Saya simpan tenaga untuk pusingan terakhir seperti yang disarankan jurulatih,â katanya sambil meluahkan penghargaan atas sokongan padu yang diterimanya.
Pada saingan final esok, Azlan dijangka berdepan cabaran besar, dengan penampilan pelari unggul dunia terutama dari Kenya.
Dalam pada itu langkah dua pelari pecut negara, Muhammad Zamir Azman dan Hazrul Shah Hamri, ke final 100m lelaki tersekat selepas menamatkan saingan separuh akhir masing-masing di tempat terakhir di Stadium Komazawa.
Zamir, Raja Pecut Pekak Asia Tenggara, mencatat 11.47s, manakala Hazrul merekodkan 11.73s.
Kedua-duanya menyatakan bahawa suhu sejuk 13°C menjejaskan pecutan dan rentak larian, namun bertekad untuk bangkit dalam acara 200m yang bakal berlangsung.
Di Musashino Forest Sport Plaza, skuad badminton negara terus mengekalkan momentum dengan kemenangan beregu wanita Boon Wei Ying / Foo Zu Tung, juara pingat emas Deaflympics Brazil 2022.
Pasangan negara itu bangkit selepas tewas pada set pertama untuk mengalahkan gandingan Korea Selatan, Hyang Kim / Soyi Park, 13â21, 23â21, 21â5 dalam pertarungan tiga set yang penuh dramatik.
Mereka meneruskan rentak kemenangan dengan menundukkan gandingan Hong Kong, Siu Kei Wong / Ka Long Yuen, dengan kemenangan bergaya 21â10, 21â8.
Malaysia turut cemerlang dalam beregu campuran apabila pasangan Edmund Teo / Boon Wei Ying mudah mengatasi gandingan Turkiye, Muhammed Sert / Elif Sahra Demirel, dengan kemenangan mutlak 21â13, 21â9.
Kemenangan ini mengukuhkan lagi kedudukan mereka untuk mara ke pusingan kalah mati dengan keyakinan yang semakin meningkat.





























