Badrul Hisyam

Oleh Muhammad Aiman

Setelah mengungguli acara 100 meter di Kejohanan Olahraga Jemputan Terbuka Filipina pada Jumaat, pelari pecut muda negara yang semakin mencipta nama Badrul Hisyam Abdul Manap mengalihkan fokusnya untuk mencipta kejayaan berganda apabila turun beraksi dalam acara 200 meter, hari ini.

Pelari kelahiran Melaka itu meraih emas acara 100 meter dengan catatan masa 10.39 saat di trek Arena Sukan Philsports yang terletak di Pasig City namun mengakui tumpuannya sedikit terjejas dengan keputusan pihak penganjur memulakan perlumbaan setengah jam lebih lewat gara-gara atlet Mongolia tertinggal spike di hotel penginapan.

“Badan saya menjadi sejuk disebabkan terlalu lama menunggu dan ia sedikit sebanyak menjejaskan tumpuan dan konsentrasi saya. Saya tidak pasti apa yang berlaku tetapi mungkin jurulatih atlet tersebut balik ke hotel untuk mengambil spike yang tertinggal.

“Apapun saya gembira kerana berjaya melakukan 10.39saat untuk memenangi perlumbaan. Ini membuktikan saya konsisten dengan catatan linkungan 10.30 saat pada setiap perlumbaan dan saya perlu memberi tumpuan pada acara seterusnya (200m) yang akan berlangsung esok (Sabtu),” ujar Badrul Hisyam.

Pingat perak acara itu menjadi milik seorang lagi atlet negara, Khairul Hafiz Jantan dengan catatan masa 10.41 saat dan pingat gangsa diraih atlet tuan rumah Brandon Thomas.

Catatan masa yang dilakukan atlet berusia 19 tahun itu bagaimanapun masih jauh daripada catatan peribadi terbaiknya, 10.29 saat yang dilakar ketika beraksi di Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Asean di Brunei pada tahun lalu.

Badrul Hisyam sebelum ini mencetus sensasi arena olahraga tanah air apabila catatan masa 10.29 miliknya mengatasi rekod kebangsaan yang dipegang Watson Nyambek namun ianya tidak diiktiraf Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sebagai rekod baru kebangsaan atas alasan teknikal.

Sementara itu, dalam acara 400m, Muhammad Azam Masri meraih pingat perak dengan catatan masa 46.90 saat, tewas 0.01 saat kepada pemenang pingat emas dari negara tuan rumah, Alejan Edgardo.

Biarpun sekadar meraih pingat perak, Azam pada hakikatnya boleh berbangga dengan pencapaian tersebut kerana dia adalah atlet pertama untuk merakamkan catatan masa di bawah 47 saat selepas kali terakhir ianya dilakukan oleh pemegang rekod kebangsaan, Zaiful Zainal Abidin  pada 2007.

- Advertisement -