Status selaku pemegang rekod kebangsaan bagi acara 100m dan 200m pantas meletakkan pelari pecut sensasi negara, Khairul Hafiz Jantan selaku pilihan untuk menyerlah dan mendominasi acara itu di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur bulan depan.
Begitupun, ia tidak langsung memberi tekanan kepada pelari kelahiran Melaka itu yang melaungkan betapa kejayaan memahat nama dalam catatan sejarah olahraga negara sekali lagi setelah memperbaharui rekod acara 200m berusia 49 tahun di Kejohanan Terbuka Malaysia hanyalah permulaan kepada pencapaian lebih cemerlang selepas ini.
Menurut Khairul, dia belum mencapai kemuncak prestasi dan berkeyakinan tinggi boleh melakukan catatan masa yang lebih baik apabila beraksi di KL2017, di hadapan lebih ramai penyokong sendiri.
“Sama ada 100m atau 200m, saya percaya saya boleh lakukan dengan lebih baik lagi. Jurulatih (Md Poad Kassim) tahu kekuatan saya dan dia juga memberitahu ini belum lagi kemuncak prestasi saya. Apa yang penting bagi saya adalah tetapkan fokus dan menggunakan setiap peluang dengan motivasi yang positif.
“Saya telah begitu lama impikan mahu pecahkan rekod 200m, saya berjaya lakukannya tetapi saya tidak akan berpuas hati. Saya tidak akan berhenti dan mahu terus mengorak langkah ke depan kerana masih ada lagi ruang yang boleh ditambahbaik. Saya masih muda, baru 19 dan punyai masa untuk perbaiki kelemahan.
“Saya tekad terjemahkan prestasi yang jauh lebih baik dan lakar kejutan di Sukan SEA seterusnya memenuhi harapan besar seluruh rakyat Malaysia yang mahu melihat kita kembali mempunyai raja pecut Asia Tenggara setelah sekian lama,” kata Khairul Hafiz ketika sidang media Program Kita Juara di Bukit Jalil.
Catatan masa 20.90s dilakukan Khairul Hafiz di Terbuka Malaysia pada Selasa bukan sahaja memadam catatan 20.92s milik Tan Sri Dr M.Jegathesan yang direkodkan ketika Sukan Olimpik Munich 1968, tetapi dalam masa sama meletakkannya sebagai pelari terpantas Asia Tenggara bagi kedua-dua acara 100m dan 200m.
Untuk rekod, dia juga merupakan pemegang rekod kebangsaan 100m dengan catatan masa 10.18s.
Di KL2017 nanti, Khairul Hafiz dijangka menerima tentangan sengit memburu gelaran raja pecut dari penyandang pingat emas, Eric Shauwn Cray (Filipina) bagi acara 100m manakala Jirapong Menapra (Thailand) dan Trenten Beram (Filipina) pula memberikan tentangan dalam acara 200m. – OLEH MUHAMMAD AIMAN