Hadi Fayyadh

Musim 2017 pastinya menjadi musim yang mahu segera dilupakan pemain tengah Perak, Ahmad Khairil Anuar Zamri atau popular dengan panggilan Beto di kalangan rakan sepasukan.

Bukan sahaja tersisih lebih enam bulan kerana kecederaan lutut, tetapi kecederaan sama menyaksikannya terlepas peluang beraksi di kelayakan Kejuaraan AFC B-23 di Bangkok pada Julai, kemudiannya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada Ogos.

Terbaru, duka pemain itu berpanjangan apabila gagal berada dalam senarai akhir 23 pemain yang akan membawa cabaran di pusingan akhir Kejuaraan AFC B-23 di China bulan depan, setelah digugurkan pengendali Dato’ Ong Kim Swee sebaik berakhir latihan pusat di Mokpo, Korea Selatan.

Turut digugurkan Kim Swee adalah pemain PJ Rangers, Raphi Azizan Marriapen dan pemain Pulau Pinang, K.Thivandaran.

“Tiga pemain ini dilihat masih belum pulih dari kecederaan lama, namun mereka telah menunjukkan satu kesungguhan yang tinggi untuk berada di dalam pasukan. Mereka akan pulang ke tanah air pada Sabtu, tetapi perlu sentiasa bersedia untuk dipanggil sekiranya ada kecederaan pada mana-mana pemain dalam senarai 23 yang dibawa ke China ini,” kata Kim Swee.

Keputusan Kim Swee ini sekaligus bermakna skuad B-22 negara akan mempunyai tujuh pemain berusia B-19 iaitu R.Kogileswaran, Syahmi Safari, Haziq Nadzli termasuk empat pemain skuad B-19 kendalian Bojan Hodak iaitu Shivan Pillay Asokan, Hadi Fayyadh Abdul Razak, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Akhyar Rashid.

Lebih menarik, Shivan dan Hadi Fayyadh baru sahaja berusia 17 tahun dan menjadi dua pemain termuda negara di dalam skuad kali ini.

Untuk rekod, sepanjang berlatih di Mokpo, pasukan negara telah mengharungi tiga aksi persahabatan iaitu seri 1-1 menentang Mokpo City, menang 1-0 ke atas Honam University dan seri 1-1 menentang Jeonju Citizen.

Mereka akan terbang ke Nanjing untuk latihan pusat terakhir dan kemudiannya menentang Syria B-23 dalam aksi persahabatan pada 5 Januari dan dijadual tiba di Changshu pada 6 Januari bagi pusingan akhir Kejuaraan AFC B-23.

Malaysia akan membuka tirai aksi Kumpulan C pusingan akhir dengan menentang Iraq pada 10 Januari, diikuti Jordan (13 Januari) dan Arab Saudi (16 Januari).  OLEH MUHD AIMAN 

Senarai 23 pemain :

Penjaga gol : Haziq Nadzli, Ifwat Akmal, Syihan Hazmi

Pertahanan : Irfan Zakaria, Syazwan Zaipol Bahari, Shivan Pillay, Dominic Tan, Adam Nor Azlin, Adib Zainuddin

Tengah : Syamer Kutty Abba, Nor Azam Azih, Matthew Davies, Syazwan Andik Ishak, Daniel Amir Norhisham, Nik Akif Syahiran Nik Mat, Tommy Mawat Bada, Syahmi Safari

Penyerang : R.Kogileswaran, Hadi Fayyadh, N.Thanabalan, Jafri Firdaus Chew, Akhyar Rashid, Safawi Rasid

- Advertisement -