Malaysian Football League (MFL) memutuskan perlawanan di antara Kuching City FC dan Kelantan United FC yang dijadual berlangsung pada Sabtu, 11 September 2021 di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang terpaksa ditunda ke satu tarikh yang akan ditetapkan dalam masa terdekat.

Keputusan itu dibuat atas persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL apabila mendapati dua pemain Kelantan United telah positif COVID-19 hasil daripada ujian calitan terhadap pemain tersebut.

Selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pegawai dan pemain pasukan Kelantan United akan dikuarantin serta tidak dibenarkan menyertai sebarang aktiviti dalam tempoh tersebut bermula 10 September 2021.

Ahli Lembaga Pengarah MFL akan memutuskan tindakan selanjutnya berhubung status perlawanan tersebut dalam masa terdekat.

- Advertisement -