Pusingan ketiga Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix akan kembali dengan aksi menarik dalam kategori CP125 pada hujung minggu ini di Bandar Jasin Bestari.

Md Khairi Ashraf Mahmood dari pasukan JETRON YAMAHA YYPANG RACING TEAM akan mempertingkatkan usahanya untuk mengekalkan kedudukannya.

Khairi menyertai kategori CP125 musim lepas untuk pusingan terakhir tetapi beliau tidak mampu menamatkan perlumbaannya. Sepanjang sembilan pusingan pada musim lepas, Khairi telah beraksi di kategori CP150 tetapi pencapaian beliau kurang memuaskan.

Oleh itu, Khairi telah ditempatkan dalam kategori CP125. Pada musim ini, beliau kembali dengan ilham baru untuk menguasai kategori CP125.

Pada pusingan pertama yang telah berlangsung di Litar Sepang Antarabangsa, Khairi berjaya di tangga keempat dan seterusnya melonjak ke tempat pertama secara keseluruhan apabila beliau meraih kemenangan pertamanya di Litar Seri Jempol.

Beliau kini melebihi pelumba di tempat kedua sebanyak 10 mata. Pencapaian Khairi pada musim ini memaparkan kemahirannya dalam mengendali jentera 125cc.

Walaupun masih awal untuk menentukan kelebihan beliau, Khairi berazam untuk memberikan persembahan yang terbaik bagi pusingan-pusingan yang akan datang.

Menurut Khairi, “Banyak perubahan telah berlaku bagi saya di musim ini berbanding dengan tahun sebelum ini. Perubahan baharu ini bukan sahaja bagi diri saya malah bagi kami sepasukan.

“Dengan kehadiran rakan kongsi baharu, kami sepasukan dapat meningkatkan ketahanan jentera yang telah memberikan saya kelebihan dalam perlumbaan. Sudah pasti semangat saya meningkat dan saya berazam untuk kekal di tangga teratas secara keseluruhan.”

“Bagi perlumbaan seterusnya, saya perlu lebihkan fokus kerana Litar Jasin adalah agak mencabar berbanding dengan litar-litar teknikal yang lain. Pada pendapat saya, perkara yang paling penting semasa berlumba di litar teknikal adalah keselamatan. Pelumba-pelumba CP125 agak kompetitif, jadi tumpuan 100% amat penting.

“Sebagai persediaan, kami mengikuti latihan yang telah dijadualkan di litar. Selain itu, saya juga melakukan latihan sendiri seperti berjogging setiap petang untuk meningkatkan stamina. Matlamat saya untuk pusingan ini adalah untuk menjuarai pusingan ini.”katanya

- Advertisement -