Pelumba Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2018, Mohd Hafiz Nor Azman maut selepas dipercayai terbabit dalam kemalangan ketika perlumbaan di Bandar Penawar, Kota Tinggi dekat sini, petang semalam.

Laporan media tempatan, Mohd Hafiz disahkan meninggal dunia oleh Malaysian Cub Prix yang memuat naik gambar pelumba muda berusia 22 tahun itu menerusi laman rasmi Facebook mereka malam tadi.

Mohd Hafiz merupakan anak kepada bekas pelumba, Nor Azman Mad Darus.

Pada tahun ini, Allahyarham yang mewakili Petronas Racing Team-CKJ, menggalas tanggungjawab sebagai pelumba harapan pasukan berkenaan dalam kategori CP150.

Sementara itu, AAM Motorsports Sdn Bhd (AAM) dijangka akan menubuhkan jawatankuasa siasatan selepas menerima semua dokumen berkaitan insiden itu.

Menerusi kenyataan media, Pengerusi AAM, Tunku Datuk Mudzaffar Tunku Mustapha berkata jawatankuasa berkenaan akan ditubuhkan dalam tempoh beberapa hari lagi.

“Kita amat sedih menerima berita pemergian pelumba, Mohd Hafiz semasa pusingan akhir kelas CP150. Litar itu telah diperiksa Inspektor Rasmi Sirkit AAM pada Jumaat (14 Dis) bagi memastikan kesemua ciri-ciri keselamatan dan penghadang berada di tempat sepatutnya untuk perlumbaan,” katanya.

“Kami ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan Mohd Hafiz,” katanya.

Jenazah Mohd Hafiz hari ini telah selamat dikebumikan di Simpang Pulai, Perak.

 

- Advertisement -