Pahang Rangers mempunyai visi yang cukup besar bukan sahaja mahu merangkul trofi Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2019 tetapi lebih daripada itu mahu mencipta sejarah sebagai pasukan pertama dari Malaysia beraksi di Kejuaraan Futsal Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) satu hari nanti.

Mereka nampaknya serius untuk menjadikan impian itu satu kenyataan, termasuklah dengan memantapkan pengurusan selain merekrut lima tonggak pasukan Harimau Malaya pada awal musim antaranya Khairul Effendy Bahrin, Azwann Ismail, Abu Haniffa Hassan dan Saiful Nizam Mohd Ali.

Pelbagai inisiatif lain turut giat dilaksanakan di balik tabir dan ketika ini, semuanya dilihat berada pada landasan tepat apabila pasukan bimbingan Taufik Yaiyah itu sedang bersaing sengit dengan Selangor untuk merebut kejuaraan MPFL 2019.

Visi dan pandangan jauh ke depan Pahang Rangers nampaknya turut menarik perhatian syarikat-syarikat besar untuk tampil bekerjasama dan terbaru pasukan itu menerima suntikan semangat terbaik apabila jenama peralatan rumah terulung, CUCKOO merasmikan pembabitan dalam arena sukan dengan menjadi penaja rasmi pasukan itu.

Kerjasama di antara Pahang Rangers dan CUCKOO dimeterai pada bulan lalu dalam satu majlis gilang gemilang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di mana Presiden Pahang Rangers YAM Tengku Fahd Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah sendiri telah hadir menandatangani jersi kolaborasi bersama Ketua Pegawai Eksekutif CUCKOO, KC Hoe.

“Ini adalah permulaan kepada inisiatif sukan kami dan sebahagian daripada beberapa projek yang telah dijadualkan untuk 2020. Kami memberi sokongan penuh kepada Pahang Rangers untuk menjadi juara sulung MPFL seterusnya mengharumkan nama Malaysia di Asia satu hari nanti,” kata KC Hoe.

Dalam pada itu, Pahang Rangers akan menyepak mula saingan pusingan kedua MPFL 2019 dengan menentang Kuala Lumpur di gelanggang sendiri di Stadium Tertutup SUKPA, pada Rabu.

Pahang Rangers yang memulakan kempen dengan lima kemenangan berturut-turut, gagal mengutip mata penuh dalam dua aksi terakhir di mana mereka tewas kepada Perak 5-6 dan kemudiannya seri menentang pendahulu liga, Selangor 3-3 pada 31 Julai lalu.

Kapten pasukan, Khairul Effendy berkata pasukan itu tidak lagi boleh melakukan kesilapan dan mencicirkan mata jika mahu terus menghambat Selangor yang sedang memimpin carta liga dengan kelebihan satu mata.

“Kita kembali bermain di SUKPA. Ia perlawanan pertama pusingan kedua dan kita mahu bermula dengan kemenangan. Penyokong kita akan menjadi kekuatan utama, menjadi inspirasi supaya kita boleh bangkit mengutip tiga mata setelah tercicir lima mata dalam dua perlawanan terakhir.

“Kita telah menang semua empat perlawanan di Sukpa, dan kita enggan berpaling. Tiada keputusan lain diharap selain kemenangan,” kata Khairul Effendy yang juga merupakan kapten pasukan kebangsaan.  MUHD AIMAN 

- Advertisement -