Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong ditemukan meninggal dunia di kediamannya di Pandan Indah di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak ketika mengesahkan perkara itu berkata jenazah Zolkples, 62, kini berada di Hospital Kuala Lumpur bagi tujuan bedah siasat.

“Anak saudara dan pembantu peribadi beliau meminta bantuan polis untuk membuka pintu rumah arwah kira-kira 10 pagi tadi selepas beberapa panggilan dibuat tidak dijawab. Selepas polis berjaya membuka pintu rumah, jenazah Zolkples ditemukan terbaring.

“Punca dan waktu kematian akan diketahui setelah selesai bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Difahamkan, jenazah Zolkples ditemukan terbaring di bahagian dapur rumahnya.

Turut difahamkan beberapa pegawai MSN gagal menghubungi beliau sejak Jumaat lepas, selepas mendapati Zolkples tidak hadir solat Jumaat di Vista MSN Bukit Jalil.

Zolkples mula menjawat jawatan Ketua Pengarah MSN sejak 2007 hingga 2014.

Beliau juga pernah menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia 2010 yang menyaksikan Malaysia merangkul sembilan pingat emas sekali gus merupakan pencapaian terbaik kontinjen negara sepanjang penyertaan pada temasya sukan berkenaan.

Berikutan kejayaan itu, beliau sekali lagi diberikan kepercayaan sebagai Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik London 2012.

Zolkples juga pernah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Sukan SEA 2017. – BERNAMA 

- Advertisement -