Oleh Muhammad Aiman

Tiada angin, tiada ribut, pemain skuash perseorangan wanita nombor dua kebangsaan, Delia Arnold membuat kejutan besar apabila mengumumkan persaraannya, sekaligus menghadiahkan tamparan hebat buat Persatuan Raket Skuash Malaysia (SRAM).

Pemain berusia 31 tahun itu membuat keputusan mengakhiri pembabitan selama dua dekadnya sebagai pemain kerana berpendapat telah tiba masa memberi laluan kepada pemain muda untuk tampil menyerlahkan potensi mereka serta mula fokus kepada membina keluarga sendiri.

Delia yang mengahwini bekas pemain badminton negara, Lin Woon Fui enam tahun lalu, telah menyerahkan surat pengundurannya kepada Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar (B) S.Maniam di Pusat Skuash Nasional, Bukit Jalil.

“Walaupun ia satu keputusan yang sukar, saya rasa sudah tiba masanya untuk menoktahkan karier saya. Saya telah memikirkannya banyak kali dalam tempoh beberapa bulan lepas dan saya rasa ini keputusan tepat.

“Apatah lagi saya sendiri tidak begitu menyerlah kebelakangan ini. Tiada motivasi dalam diri saya untuk terus bermain,” kata juara kebangsaan 2015 dan 2016 itu.

Mengakui belum mempunyai sebarang perancangan selepas ini, Delia berkata dia akan berehat dahulu untuk seketika sebelum membuat sebarang keputusan namun tidak menolak kemungkinan akan terus terbabit dalam arena skuash.

Keputusan Delia itu meletakkan SRAM ketika ini dalam dilema besar apatah lagi ratu skuash, Dato’ Nicol David yang menjunam prestasinya kini jatuh ke kedudukan ketujuh dunia, manakala pemain nombor tiga negara, Low Wee Wern tersisih kerana merawat kecederaan lutut.

Begitupun Delia berpendapat pemain-pemain remaja seperti S.Sivasangari dan adiknya Rachel sedang menunjukkan peningkatan yang baik dan berpotensi melangkah lebih jauh seandainya berterusan diberi peluang dan pendedahan.

Untuk rekod, pemain di kedudukan 17 dunia itu, telah mewakili skuad senior negara bermula 2006 dan telah menjulang sebanyak lapan kejuaraan. Dia juga telah membuat penampilan di empat Kejohanan Skuash Wanita Berpasukan Dunia – menang gangsa tiga kali berturut-turut pada 2008, 2012 dan 2014 manakala tahun lalu menduduki tempat keenam.

Pencapaian terbaik kariernya adalah mara ke separuh akhir Terbuka British pada 2015.

“Jika ada satu kekesalan saya, ia adalah kegagalan saya memecah masuk ke kelompok sepuluh teratas dunia. Tetapi saya telah begitu hampir untuk melakukannya apabila menduduki tangga ke-12 pada 2015,” ujar Delia lagi.

Bagi Maniam pula yang telahpun menjadi saksi perkembangan karier Delia sejak dari awal, “Dia adalah pemain yang cukup disayangi, sentiasa ceria dan berikan yang terbaik buat negara. Kami ucapkan selamat berjaya kepada Delia walau apa sahaja keputusan mengenai masa depan yang diambilnya.

“Diharap dia akan sudi kembali ke SRAM, sama ada untuk berkhidmat sebagai jurulatih mahupun di bidang pentadbiran.”  

- Advertisement -