kelantan

Oleh Muhammad Aiman

Selepas begitu lama bersabar dengan desakan untuk berundur, K.Devan akhirnya sah melepaskan jawatan selaku ketua jurulatih Kelantan apabila diberitakan telah menyerahkan surat peletakan jawatannya kerana ‘masalah peribadi’ kepada Persatuan Bolasepak Kelantan pada Selasa.

Berita pengunduran Devan itu bagaimanapun bukan satu kejutan kerana kedudukan pengendali berusia 55 tahun itu sememangnya menjadi persoalan sejak sekian lama dek prestasi hambar The Red Warriors dalam saingan Liga Super mahupun Piala FA musim ini.

Malah, pelantikan bekas jurulatih Felda United, Selangor dan Negeri Sembilan itu sejak awal lagi diketahui tidak disenangi banyak pihak di kem TRW, malah presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa sendiri pernah membayangkan untuk melakukan rombakan pada barisan kejurulatihan pada Jun nanti.

Devan membimbing Kelantan bermula musim 2016, menggantikan Zahasmi Ismail yang lebih menjadi pilihan penyokong di Kota Bharu atas alasan ‘hanya Devan satu-satunya jurulatih yang sudi berkhidmat dengan gaji rendah’.

Meskipun berjanji membawa perubahan, campur tangan pelbagai pihak dalam urusan pengendalian pasukan menyaksikan Devan tidak mengharungi musim yang baik apabila membawa Kelantan menang tiga, seri tiga dan tewas empat kali dalam saingan Liga Super, manakala kempen Piala FA mereka pula berakhir seawal pusingan kedua setelah tewas kepada Kedah.

Justeru, ‘masalah peribadi’ dilihat hanyalah alasan Devan untuk meninggalkan TRW tatkala dia menjadi jurulatih kelima untuk direhatkan ataupun meletak jawatan pada ketika belumpun separuh musim Liga Super 2016 berlangsung.

Sebelum ini Ahmad Yusoff direhatkan oleh Terengganu, diikuti Ahmad Shaharudin Rosdi yang memilih untuk meletak jawatan dek prestasi buruk Pahang. Kemudiannya, Jacksen Thiago direhatkan Pulau Pinang pada bulan lalu.

Manakala beberapa hari lalu, Datuk K.Rajagobal direhatkan sebagai jurulatih Sarawak sebelum bekas pengendali kebangsaan itu mengambil keputusan mengumumkan peletakan jawatannya.

- Advertisement -