Pasukan futsal lelaki dan wanita negara disasarkan dapat menyumbang sekurang-kurangnya pingat gangsa di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, pada Ogos depan.

Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bolasepak Pantai Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Rosmadi Ismail berkata itu adalah sasaran realistik mengambil kira persiapan dan prestasi semasa kedua-dua pasukan lelaki dan wanita.

“Itu sasaran realistik boleh kita letakkan tetapi saya berharap pasukan negara akan berjuang untuk cuba dapatkan lebih dari itu. Kita sedar akan kekuatan pencabar-pencabar kita seperti Thailand, Indonesia dan Vietnam.

“Bagi memantapkan persiapan, kita telah rancang beberapa aksi persahabatan dan kejohanan di luar negara. Pasukan lelaki kita baru-baru ini telah ke China bagi menghadapi saingan empat penjuru (Kejohanan Futsal Antarabangsa CFA) dan pulang dengan pencapaian yang baik.

“Walaupun tempat ketiga, kita telah berjaya beri tentangan yang baik kepada China (menang 5-4), Republik Czech (seri 3-3) dan England (tewas 0-5). Selepas ini kita merancang banyak lagi perlawanan persahabatan sebagai persiapan peringkat akhir dan kemudian berkumpul bagi latihan pusat,” kata Rosmadi.

Dalam masa sama, Rosmadi turut menganggap peningkatan dalam kedudukan ranking dunia di mana Malaysia melonjak lima anak tangga ke kedudukan 64 berbanding 69 pada bulan lalu sebagai petanda positif dan membuktikan skuad Chew Chun Yong itu berada di landasan tepat membawa cabaran di KL 2017.

Bagi skuad wanita kendalian Muizuddin Mohd Haris pula, mereka telah mengharungi dua aksi persahabatan menentang Hong Kong pada bulan Jun dan menang kedua-dua perlawanan dengan keputusan 5-3 dan 2-1.

Rosmadi berkata penekanan sama diberikan kepada pasukan wanita di mana mereka juga akan mengharungi beberapa siri perlawanan persahabatan termasuk menentang Taiwan pada minggu hadapan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -