Oleh Ku Mohd Lufti

Gandingan berlu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong serta dan bergu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka India di Stadium Tertutup Siri Fort, di New Delhi.

Aksi bergu lelaki, V Shem-Wee Kiong yang diletak selaku pilihan pertama kejohanan mara selepas menewaskan gandingan Malaysia/Indonesia, Tan Boon Heong-Hendra Setiawan dalam aksi straight set 21-10, 21-17.

Perlawanan suku akhir esok, mereka akan berdepan seteru dari China yang juga naib juara Seluruh England, Li Junhui-Liu Yuchen yang menyingkirkan pilihan kelima, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark juga dengan kemenangan straight set 21-12, 23-21.

Pasangan bergu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying mengesahkan slot ke suku akhir selepas menundukkan gandingan dari Indonesia, Edi Subaktiar-Gloria Emanuelle Widjaja straight set 21-11, 21-19.

Di suku akhir, mereka akan berdepan pasangan dari Korea Selatan, Kim Gi Jung-Shin Seung Chan yang dipaksa bekerja keras sebelum menang ke atas gandingan Denmark, Mathias Christiansen-Sara Thygesen, 15-21,22-20, 21-19.

Sementara itu, dalam acara perseorangan lelaki, wanita dan bergu wanita, tiada wakil negara yang beraksi kerana memberi tumpuan dan persiapan bagi Terbuka Malaysia yang akan berlangsung di Sarawak bermula 4 hingga 9 April.

- Advertisement -