Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan pelantikan Paulus Firman sebagai pembantu kepada jurulatih beregu lelaki, Cheah Soon Kit, menggantikan Rosman Razak yang dinaikkan pangkat menjadi ketua jurulatih beregu wanita.

Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria berkata, “Selepas mengadakan perbincangan dengan beberapa calon bagi jawatan ini, hanya Paulus yang boleh memberi komitmen dalam tempoh terdekat ini dan kita perlukan pengganti segera kerana dalam persiapan menghadapi Piala Thomas di Bangkok, pada Mei nanti.

Beliau bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat ahli majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara pada Sabtu.

Untuk rekod, Paulus pernah memegang jawatan sama selama 10 bulan pada 2013 sebelum dia kemudiannya dilantik sebagai jurulatih beregu lelaki Filipina.

Dalam sidang media sama, Norza memaklumkan bahawa bekas pemain beregu lelaki yang memenangi gelaran All England 2007, Tan Boon Heong menolak tawaran untuk kembali bernaung di bawah badan induk itu sebagai pemain.

Boon Heong sebelum ini berada dalam radar BAM bagi menampung kekurangan pemain beregu lelaki namun pemain veteran itu yang membentuk gandingan professional bersama Hendra Setiawan terpaksa menolak tawaran kerana bakal bergandingan dengan bintang Korea Selatan, Yoo Yeon Seong selama setahun di bawah naungan Yonex.

Sementara itu, tugas selaku perseorangan wanita utama di Sukan Komanwel Gold Coast, Australia bulan depan akan digalas oleh Soniia Cheah, menggantikan Goh Jin Wei yang digugurkan. Norza menjelaskan keputusan itu dibuat ketua jurulatih perseorangan wanita, Datuk Tey Seu Bock setelah menilai prestasi semasa kedua-dua pemain.

Ini bermakna Soniia akan menyertai Datuk Lee Chong Wei, Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki), Vivian Hoo-Chow Mei Kuan (beregu wanita), Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran) dan Goh Soon Huat-Shevon Lai (beregu campuran) untuk beraksi di temasya itu. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -