Galven-Green

Oleh Muhammad Aiman

Pemain golf remaja kebangsaan, Galven Kendall Green merangkul gelaran pertamanya bagi tahun 2016 apabila menjuarai Kejohanan Golf Remaja Southern edisi ke-44 di Kelab Golf University of Texas, Amerika Syarikat.

Pemain berusia 15 tahun itu tampil dengan aksi cemerlang pada hari terakhir kejohanan untuk membenam lima di bawah par 66, dan muncul juara dengan catatan keseluruhan dua di bawah par 211.

Lebih manis ia adalah percubaan pertamanya di bumi Amerika Syarikat.

Kemenangan menyaksikan Galven menuruti jejak abangnya, Gavin Kyle Green yang pernah menjuarai Kejohanan Antara Kolej William H. Tucker dan Kejohanan Jemputan UTSA Lone Star di sini ketika menuntut di Universiti of New Mexico dua tahun lalu.

Galven memulakan kejohanan tiga hari itu dengan melakukan pukulan par 71, dan layak ke pusingan akhir menerusi catatan tiga di atas par 74 sebelum prestasi ala professionalnya pada hari terakhir menghadiahkannya kejuaraan.

Kali terakhir Galven merangkul gelaran adalah ketika dia menjuarai Cabaran Tan Sri Muhyiddin diikuti Kejohanan Tertutup Amatur Malaysia pada Disember tahun lalu.  

Galven ketika ini terlibat di bawah program Kita Juara sebagai memperkasakan persiapannya untuk menghadapi Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 dan sudah pastinya dia mahu tampil dengan prestasi jauh lebih baik berbanding penampilan sulungnya di Singapura tahun lalu.

- Advertisement -