Penampilan ketika menentang KPT Mustang dalam aksi ketujuh Malaysian Premier Futsal League (MPFL) 2023 pada Ahad lalu, menjadi penampilan terakhir pemain import Matheus Gonzalez dalam jersi Pahang Rangers. 
Pemain berasal dari Brazil itu mengucapkan selamat tinggal dengan penuh bergaya apabila menyumbang dua assist dan satu jaringan, yang juga jaringan penutup ketika membantu Pahang Rangers melakar kemenangan besar 8-1 di SUKPA. 
Ia adalah kemenangan keenam skuad tok gajah itu dalam saingan MPFL 2023, bangkit semula ke landasan kemenangan setelah hanya mampu seri menentang Pulau Pinang 2-2 pada 29 April lalu. 
Gonzalez yang sering mencuri tumpuan dengan gelagat ‘gila-gila’ dan tarian sambanya ketika perlawanan, diakui telah pantas menjadi antara pemain kesayangan di Kuantan.
Sambil menghargai setiap pengalaman diraihnya sepanjang tempoh singkat lima bulan bersama Pahang Rangers, pemain berusia 23 tahun itu mengharapkan pasukan akan terus mengorak langkah memburu kejuaraan sulung MPFL musim ini. 
“Saya pergi dengan mengetahui saya telah memberikan yang terbaik kepada Pahang Ranges sehingga ke akhir penampilan. Banyak yang saya belajar dan pengalaman hebat yang saya dapat dalam tempoh lima bulan ini yang sudah tentunya akan menjadikan saya seorang pemain lebih baik.
“Terima kasih kepada semua, barisan kejurulatihan terutama Gerard Casas (ketua jurulatih) atas peluang yang diberi, pihak pengurusan, Presiden kelab yang sangat suportif (YAM Tengku Fahad Mua’adzam Shah) dan semua rakan sepasukan atas memori indah ini. 
“Tidak lupa terima kasih kepada semua penyokong yang sentiasa bersorak nama saya, ini hadiah perpisahan daripada saya untuk anda. Saya tidak akan berhenti di sini, akan pulang ke Brazil sebelum menentukan halatuju seterusnya karier saya dan terus mengejar impian saya,” ujar Gonzalez. 
Sepanjang bersama Pahang Rangers, Gonzalez menjaringkan lima gol – empat dalam saingan MPFL dan satu di Kejuaraan AFF yang berlangsung pada awal bulan ini.
Kekosongan ditinggalkannya akan diisi pemain import baru yang akan diumumkan oleh Pahang Rangers dalam tempoh terdekat.
- Advertisement -