Pahang mengesahkan tempat di separuh akhir Piala FA dengan penuh bergaya setelah hatrik jaringan Patrick Cruz memastikan kemenangan sensasi 3-0 (agregat 3-0) ke atas Johor Darul Takzim di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Lebih manis mereka adalah pasukan pertama untuk menang di gelanggang keramat Harimau Selatan itu selepas 52 perlawanan dalam semua pertandingan, sejak kali terakhir Felda United melakukannya pada 2015 dalam saingan Piala Malaysia.

Gol pertama Cruz hadir pada minit kesepuluh setelah pemain itu melakukan rembatan rendah menewaskan Farizal Marlias di gawang JDT setelah menerima hantaran Norazam Azih, manakala gol kedua pada minit ke-58 setelah dia menolak masuk hantaran lintang Kogileswaran Raj.

Gol ketiga yang juga gol yang membunuh terus perjuangan skuad bimbingan Raul Longhi pula hadir pada minit ke-77 setelah Cruz melakukan rembatan cantik dari dalam kotak penalti menewaskan Farizal setelah memperdayakan beberapa pemain pertahanan.

Kemenangan ini juga menyaksikan Pahang mengulangi kejayaan menyingkirkan JDT di peringkat yang sama pada tahun lalu dalam laluan mereka ke final.

Lawan yang menanti skuad tok gajah di separuh akhir nanti adalah PKNP FC yang mara setelah mengejutkan Felda United 2-1 di Stadium Bandar Tun Razak, Jengka.

Penyerang kebangsaan Shahrel Fikri Fauzi muncul wira apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-12 dan 42 manakala Wan Zack Haikal membalas untuk pasukan Felda United bimbingan B.Sathianathan.

Kedudukan agregat terikat 2-2 namun PKNP FC mara menerusi kelebihan gol di tempat lawan.

Dua lagi slot separuh akhir akan ditentukan pada Sabtu dengan Selangor berdepan Kuala Lumpur manakala PKNS FC pula berdepan Perak.

- Advertisement -