Oleh Muhammad Aiman

Gol jaringan penyerang kebangsaan, Ahmad Hazwan Bakri memastikan Johor Darul Takzim bangkit dari ketinggalan untuk mencatat kemenangan dramatik 3-2 ke atas kelab Filipina, Ceres Negros FC dalam aksi separuh pertama Piala AFC Zon Asia Tenggara di Stadium Larkin pada Rabu.

Kemenangan membolehkan Harimau Selatan membawa bekalan tipis satu gol untuk aksi timbal balik di Bacolod City pada 31 Mei depan namun skuad Benjamin Mora tetap belum boleh menarik nafas lega setelah membenarkan Ceres membawa pulang dua gol di tempat lawan.

Setelah aksi 15 minit pertama yang tampak seimbang, ianya JDT yang membuka jaringan menerusi penyerang berbisa mereka, Gabriel Guerra yang memperdaya dua pemain pertahanan sebelum melepaskan rembatan menewaskan Rolland Mueller di gawang Ceres.

Jaringan itu bagaimanapun hanya bertahan selama lima minit apabila tandukan Fernando Rodriguez hasil hantaran Iain Ramsay gagal diselamatkan Farizal Marlias di gawang JDT pada minit ke-21.

Gawang JDT bergegar lagi empat minit kemudian apabila Bienvenido Maranon pula merembat kencang ke penjuru kanan gawang Farizal membolehkan Ceres mendahului 2-1.

Bekas ketua pasukan kebangsaan, Safiq Rahim memastikan kedua-dua pasukan menuju ke bilik persalinan dengan kedudukan terikat 2-2 apabila menanduk masuk hantaran lintang Fadly Mazlan pada minit ke-44.

Usaha berterusan di separuh masa kedua menyaksikan JDT beroleh tambahan jaringan menerusi Hazwan yangĀ  menyempurnakan hantaran Safiq pada minit ke-68 dan kedudukan kekal sehingga tamat permainan.

Perlawanan itu turut disaksikan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia yang juga Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

- Advertisement -