Oleh Muhammad Aiman

Pahang terlepas peluang mengukuhkan cengkaman di kedudukan teratas Liga Super setelah kecundang 2-3 kepada juara bertahan, Johor Darul Takzim di Stadium Larkin pada Jumaat.

Tok gajah mendahului pada minit ke-15 menerusi penyudah Matheus Alves namun gagal mempertahankan kelebihan itu apabila membenarkan harimau selatan bangkit menerusi dua jaringan pantas penyerang kebangsaan Hazwan Bakri pada minit ke-30 dan 36 untuk JDT pula berada di depan 2-1 di separuh masa pertama.

Bekas kapten kebangsaan, Safiq Rahim mengukuhkan kelebihan JDT pada minit ke-55 setelah menolak masuk umpanan S.Kunanlan namun Alves menghidupkan sisa perjuangan buat skuad kendalian Dollah Salleh apabila sepakan percuma cantiknya menewaskan Izham Tarmizi Roslan di gawang JDT untuk kedudukan 2-3 pada minit ke-68.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan selepas itu namun tiada tambahan jaringan terhasil sekaligus menyaksikan JDT melakar kemenangan keempat untuk melonjak ke tangga ketiga dengan 14 mata, hanya dua mata di belakang Pahang yang tewas buat kali kedua.

Dan kedudukan Pahang di tangga teratas juga berpotensi tergugat apabila pasukan tangga kedua, Kedah yang mengumpul 15 mata turun menentang Melaka United pada Sabtu dan kemenangan akan menyaksikan anak buah Tan Cheng Hoe kembali merampas takhta liga.

Perlawanan lain berlangsung Sabtu adalah Kelantan menentang T-Team di Kota Bharu, Felda menentang Sarawak di Jengka, Selangor bertemu Perak di Selayang dan PKNS melayan kunjungan Pulau Pinang di Shah Alam.

- Advertisement -