Penjaga gol kacukan Vietnam – Rusia, Dang Van Lam mendedahkan ibu bapanya terlalu gementar untuk menonton dia beraksi bersama skuad Naga Emas dan mengambil keputusan untuk pergi ke gereja.

Van Lam yang berumur 25 tahun, merupakan penjaga gol pilihan utama ketua jurulatih Park Hang-seo dalam kempen Piala AFF Suzuki kali ini. Dan ini merupakan pengalaman pertamanya beraksi dalam kejohanan Asia Tenggara bersama skuad kebangsaan.

“Semua perlawanan peringkat kumpulan, separuh akhir dan perlawanan akhir, mereka tidak mempu menyaksikannya kerana ia adalah kejohanan besar pertama saya.

“Sehingga kini saya masih tidak berpeluang untuk bercakap dengan mereka kerana terlalu gementar, oleh itu mereka ke gereja dan hanya mendapatkan keputusan melalui telefon bimbit,” katanya menerusi laman AFF Suzuki Cup.

Selepas tamat perlawanan malam tadi, kemungkinan perasaan gementar ibu bapa Van Lam telah pun hilang setelah Vietnam berjaya memenangi perlawanan dengan 1-0 dan muncul juara dengan agregat 3-2 menewaskan Malaysia.

Kemenangan itu sekaligus memberikan anak buah Park Hang-seo kejuaraan Piala AFF buat kali kedua dalam sejarah penyertaan mereka setelah kali terakhir merangkulnya pada 2008.

Van Lam sendiri tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira selepas dapat membantu pasukan Vietnam memenangi kejuaraan ini selepas 10 tahun menanti.

“Selepas 10 tahun, kami berjaya ulanginya kembali. Semua rakyat Vietnam menantikan selama 10 tahun dan kami sangat gembira. Satu perasaan yang menakjubkan untuk mengecapi kejayaan ini. Kami bermain sebagai satu pasukan dan telah berikan segala-galanya untuk menjulang trofi di hadapan penyokong sendiri,” ujarnya.  MUHD AIMAN 

- Advertisement -