Trio import Selangor iaitu Ilham Udin Armaiyn, Evan Dimas dan Alfonso de la Cruz boleh menarik nafas lega setelah Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) memutuskan untuk kekal dengan import sedia ada buat masa ini.

Masa depan trio itu hangat diperkatakan kerana prestasi hambar dan tidak menyerlah justeru disebut ada di antara mereka bakal digugurkan pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia yang dibuka sejak 7 Mei lalu.

Namun pengendali pasukan, Nazliazmi Nasir menyatakan mereka kesuntukan masa untuk membuat perubahan memandangkan perlu mengharungi jadual padat lima aksi Liga Super sepanjang bulan Ramadhan selain separuh akhir Piala FA.

Tambahnya, kemasukan import baru pada ketika jarak antara setiap perlawanan terlalu singkat, tidak akan membantu meningkatkan prestasi pasukan lebih-lebih lagi ianya akan mengambil masa membentuk persefahaman dan keserasian.

Lebih penting, walaupun mengakui bercadang melakukan rombakan sebelum ini, Nazliazmi menegaskan prestasi import Red Giants tidaklah terlalu teruk malah masih boleh digilap agar dapat menjadi lebih baik, dalam masa sama membantu menjimatkan kewangan FAS.

Untuk rekod, dari lima pemain, hanya Rufino Segovia dari Sepanyol dilihat menunjukkan prestasi cemerlang apabila menjaringkan 13 gol dalam semua pertandingan dan memimpin carta penjaring Liga Super dengan lapan gol dalam 10 perlawanan.

Kedudukan William Pacheco tidak banyak diusik kerana dia dianggap tonggak pertahanan namun duo Indonesia, Ilham dan Evan menjadi antara sasaran kritikan kerana setakat ini belum memberi sebarang sumbangan besar menepati reputasi kepada pasukan manakala Alfonso pula yang dibawa masuk pada saat akhir bergelut untuk berada di prestasi terbaik dan sudah beberapa kali beralih posisi.

Selepas 10 perlawanan liga, Selangor ketika ini berada di tangga kelapan dengan 11 mata manakala di separuh akhir Piala FA, mereka akan menentang PKNS FC pada tarikh yang belum ditetapkan.MUHD AIMAN 

- Advertisement -