razie

Oleh Ku Mohd Lufti

Belum terlintas di fikiran ketua pasukan hoki kebangsaan, Razie Rahim untuk mengucapkan selamat tinggal kepada dunia hoki meskipun dia kini sudah mempunyai tanggungjawab baru setelah melapor diri sebagai salah seorang pelatih Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula minggu lalu.

Pakar flick negara itu menafikan spekulasi mengatakan keputusannya untuk beralih bidang adalah didorong rasa kecewa gagal membantu skuad negara layak ke Sukan Olimpik 2016 sebaliknya menegaskan masanya belum tiba untuk dia berundur dari skuad kebangsaan.

“Ini bukan soal nak bersara, menjadi anggota polis adalah cita-cita saya sejak kecil. Memang sudah lama saya tangguh hasrat untuk memohon pekerjaan ini kerana kesibukan sebagai pemain hoki dan juga pengajian di Universiti Putra Malaysia.

“Kini, saya rasa ianya waktu yang sesuai kerana saya sudah 29 tahun, kalau tangguhkan lagi saya akan terlepas peluang kerana faktor usia. Tentang hoki, memang saya tidak pernah fikir mahu bersara kerana saya masih boleh bermain beberapa tahun lagi. Lagipun, jurulatih (Stephen Van Huizen) masih mempercayai kudrat dan kebolehan saya untuk mengetuai pasukan negara,” ujar Razie.

Tambah Razie lagi, “Kegagalan ke Olimpik tidak mematahkan semangat saya untuk mencuba lagi. Kalau boleh, sebelum bersara saya cukup berharap dapat beraksi di Sukan Olimpik kerana itu satu-satunya pertandingan besar yang belum pernah saya sertai.”

Bagaimanapun, Razie yang mula menyarung jersi kebangsaan pada 2006 mengakui rutin kehidupan yang jauh berbeza sebagai seorang anggota polis bermakna dia tidak lagi boleh memberi fokus sepenuhnya terhadap sukan hoki.   

“Dulu lain, pagi petang berlatih hoki, tetapi kini saya perlu membahagikan komitmen antara hoki dan pekerjaan sebagai anggota polis. Saya menyertai polis bukan atas nama semata-mata sebaliknya mahu berkhidmat sebagai polis seperti anggota polis lain. Jadi, saya perlu bijak membahagikan masa antara kerjaya dan sukan,” katanya.

Menurut pemain Kelab Hoki Kuala Lumpur itu, latihan yang perlu dilaluinya sebelum sah bergelar anggota polis akan berakhir pada Mac 2017, iaitu dua minggu sebelum bermulanya pertandingan kelayakan Piala Dunia yang dijadual pada 25 Mac 2017.

Begitupun, Razie berkata dia difahamkan bahawa Konfederasi Hoki Malaysia akan mengadakan rundingan bersama PDRM untuk mendapatkan pelepasan baginya menyertai latihan sekurang-kurangnya dua kali seminggu untuk mengelak berlakunya pertembungan antara latihan bersama skuad hoki dan juga pasukan polis.

Untuk rekod, sepanjang 10 tahun mewakili negara, antara kejayaan yang pernah dikecap Razie bersama skuad kebangsaan adalah memenangi pingat emas Sukan Sea 2007, pingat perak Sukan Asia 2010, meraih gangsa Trofi Juara-Juara Asia 2012, serta memenangi emas pusingan kedua Liga Hoki Dunia tahun lalu.

- Advertisement -