Ketua jurulatih Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim enggan barisan pemain mengambil mudah perlawanan menentang Terengganu FC II dalam aksi Liga Premier 2021 selepas menyaksikan wakil Pantai Timur itu meraih kemenangan pertama minggu lalu.

Irfan menyifatkan kemenangan besar 4-0 pasukan TFC II ke atas Skuad Projek FAM-MSN, Sabtu lalu pastinya memberi amaran awal kepada anak buahnya menjelang pertembungan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Justeru, Kuching City FC tidak boleh leka dalam tempoh 90 minit perlawanan bagi memastikan mereka tidak tersungkur dan mampu mengutip mata apatah lagi ini merupakan perlawanan pertama pasukan memandangkan mereka tidak beraksi minggu lalu.

Setakat ini, komitmen setiap pemain dalam latihan cukup baik dan memenuhi apa yang diinginkan olehnya selaku jurulatih baharu dan beliau percaya skuad yang dibentuk pada musim ini mampu mencipta kejutan.

“Sejujurnya saya mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap pasukan saya dan walaupun kami tidak mendapat perlawanan persahabatan yang kompetitif sebelum ini, tetapi saya percaya pengalaman pemain-pemain dan pengalaman saya juga mampu untuk menghasilkan sesuatu yang positif pada musim ini.

“Memang saya nampak semangat semua pemain yang berkobar-kobar dan sudah tidak sabar untuk beraksi apatah lagi pasukan-pasukan lain sudah ghairah beraksi pada minggu lalu, jadi kami juga tak mahu terlepas mengutip mata.

“Yang penting, saya menghormati pasukan lawan dan selepas tahu mereka menang besar tempoh hari, saya mahu pemain-pemain kekal fokus dan dapat beri tentangan sengit malam esok,” jelasnya.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Sarawak United FC, E. Elavarasan enggan mendabik dada kemenangan Ahad lalu ke atas Kelantan United kerana masih banyak yang perlu diperbaiki pasukan menjelang aksi berdepan Perak FC II malam esok.

Dengan kecederaan buku lali yang dihadapi pemain import Lee Chang Hoon dan Tommy Mawat Bada menyaksikan beliau terpaksa melakukan beberapa perubahan pemain untuk perlawanan di Stadium Perak nanti.

“Sebenarnya memang saya kena melakukan penambahbaikan selepas menilai perlawanan pertama tempoh hari.

“Walaupun kita menang, tetapi dua gol itu dijaringkan pada separuh masa pertama dan selepas itu, kita dah dapat lihat beberapa kelemahan, jadi perkara itu kita perlu perbaiki.

“Chang Hoon dan Tommy pun masih 50-50 untuk perlawanan malam esok, dan saya perlu tengok macam mana keadaan mereka terlebih dahulu”, katanya.

 

- Advertisement -