Johor Darul Takzim (JDT) mempunyai sebab untuk bergembira setelah berakhirnya aksi ke-14 saingan Liga Super pada Sabtu – bukan sahaja mereka memulakan aksi pertama selepas cuti panjang dengan kemenangan tetapi dua pencabar terdekat Pahang dan Kedah masing-masing dikejutkan dengan kekalahan.

JDT menundukkan pasukan tangga tercorot, Pulau Pinang 2-0 menerusi jaringan Mohamed Ghaddar dan Gonzalo Cabrera di Stadium Larkin. Kemenangan itu menyaksikan mereka mengumpul 33 mata, sembilan mata mengatasi Pahang dan Kedah dengan baki lapan perlawanan untuk diharungi.

Pahang pula tewas 1-2 di Stadium Jengka kepada tuan rumah Felda United gara-gara gol penalti minit akhir permainan disempurnakan oleh Thiago Augusto.

Skuad Tok Gajah sebelum itu mendahului 1-0 seawal minit pertama hasil sentuhan Mahamadou Sumareh namun Felda bimbingan B.Sathianathan bangkit mengikat kedudukan menerusi Ifedaya Olusegun pada minit kelima sebelum Thiago meledak jaringan kemenangan pada minit ke-89.

Pahang kekal di tangga kedua dengan 24 mata.

Sementara itu, Perak mengejutkan juara Piala FA, Kedah 3-2 di Stadium Darul Aman. Pasukan bimbingan Mehmet Durakovic itu beroleh jaringan menerusi gol sendiri Syazwan Tajuddin (m-30), Nasir Basharuddin (m-47) dan Gilmar Silva (m-73).

Kedah pula membalas menerusi Sandro Da Silva (m-59) dan Liridon Krasniqi (m-84). Mereka kekal di tangga ketiga dengan 24 mata tatkala Perak pula di tangga keempat dengan 21 mata.

Hasrat Kelantan memperbaiki kedudukan dalam liga terus terbantut kali ini mereka kecundang 0-2 kepada Sarawak di Kota Bharu – ia adalah kekalahan keenam mereka di gelanggang sendiri musim ini. Demerson dan Mateo Roskam menyumbang jaringan buat Sarawak di separuh masa pertama.

Perlawanan lain menyaksikan Selangor melonjak ke tangga kelima dengan 20 mata hasil kemenangan 4-2 ke atas T-Team manakala PKNS FC mencatat keputusan seri 1-1 menentang Melaka United. 

Penyerang kebangsaan, Safee Sali menyelamatkan satu mata buat PKNS apabila menyempurnakan penalti pada minit ke-70. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -