Chooi Kah Ming-Low Juan Shen

Pemain perseorangan wanita nombor satu negara, Goh Jin Wei meneruskan langkahan sensasinya di Grand Prix Emas Terbuka Taiwan apabila mara ke perlawanan akhir setelah menundukkan pemain Jepun, Haruko Suzuki di peringkat separuh akhir.

Aksi berlangsung di Taipei Arena pada Sabtu menyaksikan Jin Wei, pemain di ranking ke-44 dunia menunjukkan kematangan permainannya untuk mengatasi Suzuki 21-16, 21-17 dalam masa 46 minit.

Ia akan menjadi penampilan final kedua buat pemain berusia 17 tahun itu dalam pertandingan GP Emas setelah turut melangkah ke final Indonesian Masters pada tahun lalu.

Lawan yang menanti Jin Wei di perlawanan akhir nanti adalah seorang lagi pemain Jepun di kedudukan ke-59 dunia, Saena Kawakami dan peluang kini terbuka luas buat bekas juara remaja dunia itu untuk merangkul kejuaraan senior pertama dalam kariernya.

Dalam pada itu nasib berbeza dialami dua lagi wakil negara iaitu pemain perseorangan lelaki Lee Zii Jia dan beregu lelaki, Chooi Kah Ming-Low Juan Shen yang gagal meneruskan kemaraan setelah kecundang kepada lawan masing-masing.

Zii Jia bagaimanapun boleh berbangga dengan prestasi ditunjukkannya apabila dia yang merupakan pemain di ranking 109 dunia berjaya memberikan tentangan sengit kepada pilihan utama dari negara tuan rumah, Chou Tien Chen sebelum tunduk 21-15, 10-21 dan 12-21.

Manakala Kah Ming-Juan Shen turut kecundang dalam pertarungan tiga set 14-21, 21-19 dan 13-21 kepada gandingan tuan rumah, Cheng Hung Lin-Wang Chi Lin yang merupakan pilihan kedua kejohanan.  – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -