Dua penerjun muda berusia 16 tahun, Jellson Jabilin dan Hanis Nazirul Jaya Surya melakar kejutan di Piala Terjun Asia, Macau apabila berganding cemerlang menghadiahkan pingat perak buat Malaysia menerusi acara 10m platform seirama.

Pada saingan akhir yang berlangsung di Pusat Akuatik Olimpik Macau itu, gandingan Jellson-Hanis mengumpul 362.88 mata untuk berkesudahan di belakang pemenang pingat emas dari China, Yang Ling-Chao Lizhi (414.48 mata) manakala gangsa menjadi milik penerjun Singapura, Jonathan Chan-James Chong.

Ianya nyata persembahan yang cukup mengagumkan dari duo itu apatah lagi ini adalah penampilan antarabangsa pertama mereka dalam acara 10m platform seirama sekaligus memberi bayangan betapa mereka sudah bersedia untuk mengegar di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Malah, kejayaan gandingan itu mengatasi penerjun Indonesia, Adityo Restu Putra-Andriyan (330.87) serta pasangan Thailand, Theerapat Siriboon-Yotsawat Jonithapadawon (311.8) yang berkesudahan di tempat keempat dan kelima turut memberi bayangan betapa Jellson-Hanis dalam landasan tepat mempertahankan emas dimenangi Ooi Tze Liang-Chew Yiwei di Singapura dua tahun lalu.

“Mereka masih mentah dari segi pengalaman antarabangsa, tetapi mereka menyahut cabaran dengan cukup baik untuk membuktikan mereka adalah pasangan yang perlu diberi perhatian dan berpotensi menghadiahkan emas di KL 2017,” kata jurulatih terjun negara, Yang Zhuliang.

Sementara itu penerjun senior,  Ooi Tze Liang pula menaiki podium buat kali pertama tahun ini setelah meraih gangsa dalam acara 3m papan anjal dengan mengumpul 398.20 mata.

Tze Liang, pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2014 berkesudahan di belakang dua penerjun China iaitu Chen Linhai (503.5) dan Diao Zhiguang (413.30).

Gandingan olimpik, Nur Dhabitah Sabri-Cheong Jun Hoong pula menghadiahkan pingat perak kedua buat Malaysia menerusi acara 3m papan anjal seirama wanita dengan mengumpul 257.91 mata, tewas kepada Xia Bingqing-Xia Yujie dari China. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -