Pemimpin pembangkang Jepun berpendapat Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach tidak seharusnya dibenarkan hadir dalam sebarang hal yang berkaitan dengan Tokyo 2020.

Mereka berpendapat Bach dan rakan rakannya ‘tidak penting’ terhadap penganjuran temasya itu yang dijadual berlangsung pada Julai depan.

Ketua Parti Perlembagaan Demokratik Jepun, Yukio Edano berpendapat, Bach dan ahli ahli dalam IOC boleh memantau menerusi pelbagai alternatif.

Edano lebih melihat para atlet, pegawai pertandingan dan kakitangan sokongan dan yang benar benar penting sahaja dibenarkan untuk terlibat sepanjang tempoh Tokyo 2020 berlangsung kerana lebih mengutamakan soal keselamatan dan mengelak varian baharu virus Covid 19 wujud di negara itu.

Beliau mencadangkan Bach dan lain lain boleh menghadiri Upacara Pembukaan secara atas talian dan ia dilihat sebagai langkah yang baik berdasarkan keadaan semasa.

Beliau juga menegaskan jika penganjuran temasya itu mahu diteruskan ia perlu dipastikan berlangsung dalam keadaan yang paling selamat dan memastikan Tokyo 2020 bukan menjadi pencetus ‘super spreader’ Covid 19.

Edano merupakan pencabar bagi kerusi nombor satu Jepun yang kini dipegang Yoshihide Suga dalam pilihanraya umum negara itu yang dijadual berlangsung sebelum atau pada 22 Oktober depan.

Penganjuran Tokyo 2020 juga dilihat sebagai penentu utama kempen melibatkan ahli ahlu politik terlibat untuk meraih undi.

Thomas Bach dijadual tiba ke Jepun pada pertengahan Julai dan penganjur juga turut mahu mengadakan Mesyuarat Badan Eksekutif dan sesi bersama IOC sebelum temasya itu berlangsung.

Jepun ketika ini berada di dalam tempoh Perintah Darurat susulan peningkatan kes dimana lebih 2000 kes baharu Covid 19 direkodkan semalam.

 

 

- Advertisement -