jonathan-2

Oleh Muhammad Aiman

Penembak olimpik negara, Jonathan Wong mahu menjadikan momentum yang tercipta tahun ini sebagai batu loncatan untuk mencatat keputusan lebih cemerlang di temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

Atlet berusia 24 tahun itu berkata Sukan Sea adalah kejohanan terbesar akan disertainya tahun depan dan dia meletakkan sasaran mahu meraih pingat di temasya dwitahunan itu meskipun mengakui bakal berdepan cabaran sukar.

Justeru, pelajar semester dua di Universiti Putra Malaysia (UPM) itu bertekad menggunakan sebaiknya tempoh 10 bulan yang berbaki untuk memperbaiki teknik bidikan seterusnya meningkatkan prestasi agar sasaran itu dapat dicapai.

 “Jika tengok balik pencapaian tahun ini, skor saya adalah sederhana. Tahun depan, saya perlu lebih kerja keras, tingkatkan cabaran untuk melakukan bidikan mata yang lebih tinggi agar saya agar boleh dapat pingat di Sukan Sea.

“Lagipun dekat Sukan Sea nanti, ada pesaing dari Vietnam yang menang di Olimpik baru-baru ini. Memang agak susah, tetapi saya bersedia menyahut cabaran. Saya berani untuk sasarkan pingat di KL 2017,” kata Johnathan yang ditemui Sports247 pada Majlis Penyerahan Insentif kepada atlet-atlet cemerlang UPM bagi tahun 2016, pada Rabu.

Pencapaian terbaik Johnathan bagi tahun ini adalah meraih pingat emas 10m pistol udara di Kejohanan Kelayakan Olimpik Asia New Delhi pada Januari yang menghadiahkannya tiket ke Sukan Olimpik namun selepas itu prestasinya menjunam teruk.

Dia turut gagal menghampiri catatan mata terbaik peribadinya 585 mata malah ketika di Rio De Janeiro Ogos lalu, Johnathan tidak dapat menampilkan prestasi baik dek kerana rasa gementar dan gugup menyebabkannya tersingkir seawal pusingan kelayakan. 

Sementara itu, majlis disempurnakan Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris itu turut meraikan 43 atlet kebangsaan lain yang membawa pulang pingat dari Sukan Universiti Asia di Singapura antaranya Saritha Cham Nong (memanah), Ahmad Luth Hamizan, Zaidatul Husniah Zulkifli, Hakimi Jamaluddin (olahraga) dan Natasha Ezzra Abu Bakar (lawan pedang) serta atlet paralimpik Rio, Mohamad Azwa Bakar.

Datin Paduka Aini dalam ucapannya berkata, “Untuk terus cemerlang, kita tidak boleh berhenti dan berpuas hati dengan pencapaian sedia ada. Kejayaan pada masa sekarang sepatutnya menjadi penanda aras untuk para atlet mencipta lebih kejayaan di masa akan datang.

“Sukan bukan sahaja sebagai medan untuk bertanding, malah ianya platform yang boleh menghasilkan banyak manfaat. Oleh sebab itu pengurusan universiti sentiasa mengambil berat pembangunan sukan dan perkembangannya bagi meningkatkan taraf sukan negara ke tahap paling optimum.”

- Advertisement -