Oleh Muhammad Aiman

Pahang membawa bekalan dua gol untuk menghadapi aksi timbal balik suku akhir Piala FA setelah mengejutkan juara bertahan, Johor Darul Takzim 3-1 di Stadium Darulmakmur pada Sabtu.

Skuad bimbingan Dollah Salleh memanfaatkan sepenuhnya kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri dengan merebut pendahuluan seawal minit ke-13 menerusi Ahmad Syamim Yahya.

JDT tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan menerusi tolakan Marcos Antonio tujuh minit kemudian dan keputusan kekal terikat 1-1 sehingga tamat separuh masa pertama. Tiga minit bersambung babak kedua, Matheus Alves kembali meletakkan Pahang di hadapan sebelum Chinedu Idike menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-66.

Sementara itu, pendahulu Liga Super Kedah membawa bekalan selesa lima gol untuk aksi suku akhir kedua setelah menundukkan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) 6-1 di Stadium Darul Aman.

Fitri Omar dan Ken Ilso Larsen masing-masing menjaringkan dua gol buat Lang Merah manakala Syafiq Ahmad dan Liridon Krasniqi pula menyumbang satu jaringan.
Aksi lain menyaksikan pendahulu 100Plus Liga Premier mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Sabah di Likas menerusi jaringan tunggal Marko Simic pada minit ke-26.

Terengganu dan Sarawak pula terikat 1-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Terengganu mendahului menerusi Federico Falcone pada minit ke-20 manakala Lee Jong Ho menyamakan kedudukan buat Sarawak di awal separuh masa kedua.

- Advertisement -