
Peserta Kejohanan Badminton Remaja Allianz (AJBC) lima kali, Nur Khalishah Abdul Razak telah layak ke Pusingan Akhir AJBC buat kali ketiga berturut-turut selepas menjuarai acara Perseorangan Perempuan Bawah 15 Tahun pada Pusingan Kelayakan Kesembilan AJBC 2026 di Alor Setar, Kedah baru-baru ini.
Nur Khalishah, pelajar Tingkatan Dua di SMK Sultanah Asma, Alor Setar, mencipta kejutan apabila menewaskan See Jie Le dari SMK Ayer Hitam, Kedah 15-10, 15-7 dalam perlawanan akhir yang sengit. Beliau turut meraih pingat gangsa dalam acara Beregu Perempuan Bawah 15 Tahun bersama pasangannya, Venus Lim.
“Saya banyak belajar daripada pengalaman beraksi di Pusingan Akhir AJBC sejak dua tahun lalu. Tahun lepas, saya sedar bahawa saya perlu mengawal emosi dengan lebih baik dan saya percaya saya jauh lebih baik sekarang,” kata Nur Khalishah.
Beliau menambah bahawa kejayaannya menjuarai acara Beregu Perempuan Bawah 14 Tahun pada Junior Elite Tour Finals awal tahun ini telah meningkatkan keyakinannya untuk menghadapi AJBC, khususnya Pusingan Akhir. Pemain berusia 14 tahun itu juga dijadualkan menyertai program Talent Identification (TID) Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada bulan hadapan.
Nur Khalishah telah menyertai AJBC sejak edisi sulungnya pada 2022. Ketika itu, beliau tersingkir pada pusingan pertama acara Perseorangan Perempuan Bawah 13 Tahun di Pusingan Kelayakan Kedah, namun bangkit lebih cemerlang pada tahun berikutnya untuk meraih tempat ketiga dalam acara yang sama.
Pada 2024, Nur Khalishah mara ke Pusingan Akhir AJBC buat kali pertama dan beraksi dalam peringkat kumpulan acara Perseorangan Perempuan Bawah 13 Tahun. Beliau terpaksa menarik diri daripada acara Beregu Perempuan Bawah 13 Tahun selepas pasangannya mengalami kecederaan. Tahun lepas, beliau mara ke suku akhir acara Perseorangan Perempuan Bawah 13 Tahun dan meraih tempat kedua dalam acara Beregu Perempuan Bawah 13 Tahun bersama pasangannya, Siti Nur Afiqah Mohd Syahmi.
Pusingan Kelayakan Kesembilan di Kedah merupakan pusingan pertama tahun ini yang menyaksikan tiada pemain berjaya meraih dua gelaran dalam kategori umur yang sama, susulan persaingan sengit dalam kalangan pemain yang menyertai kejohanan ini.
Antara pemain lain yang menyerlah di Alor Setar dan bakal beraksi di Kuala Lumpur pada Pusingan Akhir ialah Yeoh Han Son dari Chung Ling Private School, Pulau Pinang. Beliau menewaskan pemain pilihan tuan rumah, Carson Fong dari SMJK Keat Hwa, Kedah 14-16, 15-8, 17-15 untuk muncul juara Perseorangan Lelaki Bawah 15 Tahun.
“Saya berdepan tekanan yang hebat di hadapan penyokong tuan rumah, tetapi saya bermain mengikut rentak sendiri dan mencari peluang untuk mengutip mata,” kata Han Son.
Bagaimanapun, Carson menebus kekalahan itu apabila menjuarai acara Beregu Lelaki Bawah 15 Tahun bersama pasangannya, Ng Chia Tin dari SMK Pengkalan Lebai Man, Kedah. Mereka menewaskan Han Son dan Yeoh Jun Ton dari Chung Ling Private School, Pulau Pinang, 15-6, 15-5 dalam perlawanan akhir.
Edisi kelima AJBC dianjurkan oleh Allianz Malaysia Berhad dengan sokongan BAM serta Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Dalam tempoh hanya lima tahun, AJBC yang tidak mengenakan sebarang yuran penyertaan kepada pemain telah menjadi antara kejohanan badminton remaja yang paling popular dan dinanti-nantikan di negara ini. AJBC tahun ini menampilkan sebanyak 10 Pusingan Kelayakan sebelum Pusingan Akhir berlangsung di Kuala Lumpur.



























