Meskipun sudah tersingkir dari saingan Piala AFC, Johor Darul Takzim (JDT) membayangkan betapa keinginan mereka untuk terus kekal sebagai kuasa besar bolasepak tempatan tidak sedikitpun luntur, malah ianya semakin membara.

Selepas membawa masuk penjaring terbanyak Liga Super musim ini, Mohamed Ghaddar dari Kelantan ketika jendela perpindahan kedua dibuka bulan lalu, skuad Harimau Selatan memperkasakan lagi pasukan mereka dengan membawa masuk pemain tengah bertahan, Ignacio Natxo Insa Bohigues dari kelab La Liga, Levante.  

Pemain berusia 30 tahun itu berpengalaman luas beraksi bersama beberapa kelab Sepanyol lain seperti Valencia, Real Villareal, Real Zaragoza dan Celta Vigo selain kelab Turki, Antalyaspor dan lebih menarik, dia bakal didaftarkan sebagai pemain tempatan sekaligus menjadi seorang lagi pemain naturalisasi mewarnai kancah bolasepak tanah air.

Nenek pemain itu dilaporkan berasal dari Sabah dan adiknya, Kiko Insa Bohiguez juga bermain di Liga Malaysia, didaftarkan sebagai pemain naturalisasi oleh naib juara Piala FA, Pahang.

Dengan kehadiran Insa, JDT akan mempunyai pemain yang cukup berkredibiliti untuk memberikan perlindungan tambahan kepada barisan pertahanan dan rata-rata penyokong JDT tidak sabar untuk menanti gandingannya bersama Safiq Rahim dan Gonzalo Cabrera di barisan tengah pasukan.

JDT ketika ini sedang dalam misi memburu kejuaraan berganda Liga Super dan Piala Malaysia setelah gagal mempertahankan Piala FA. Mereka mendahului carta liga dengan 30 mata, enam mata mengatasi Pahang dan Kedah sekaligus berada di landasan untuk mencipta sejarah menjuarai liga buat musim keempat berturut-turut.

Justeru ramai yang melihat kemasukan Insa yang dilaporkan media dibeli dengan bayaran sekitar RM1.9 juta dapat membantu memperkasakan cabaran skuad Benjamin Mora lebih-lebih lagi musim ini mereka sangat cenderung melepaskan gol-gol mudah di lewat permainan.

Aksi pertama JDT selepas rehat panjang bersempena Ramadhan dan Aidilfitri adalah menentang Pulau Pinang dalam saingan liga pada 1 Julai, disusuli dua perlawanan Piala Malaysia menentang Sarawak (4 Julai) dan Terengganu (7 Julai). – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -